“Adik Angkat Umur 18 Tahun, Tiba2 Dia Masuk Lamar Aku Yang Dah Tua Ni” Aku terkedu dgn soalan mak ayah dia tanya

Ini tulisan kedua aku sebab tulisan pertama dulu, aku pm admin jangan terbitkan. Sebab kisah yang nak aku ceritakan ini pernah aku tulis di medium lain lama dahulu. Jadi rasanya mungkin ramai juga yang pernah membaca kisah ni.

Jadi, untuk yang pernah membaca kisah ini, atau mengenali aku dek cerita ini.. mohon jangan tag aku atau mention namaku. Senyum sahaja ye saat membacanya.

Kisah unik ini berlaku 12 tahun lalu. Walau dah lama berlalu, tapi bila dikenang perasaan bahagia itu masih sama rasanya. Selalu buat aku tersenyum sendirian, dan terkadang bila difikir balik memang “gila”. Aku sendiri pun terkejut dengan taqdir sendiri. haha..

Nama samaran aku dalam cerita ni HANNAN, 25 tahun. Masa ni aku baru mengalami episode putus cinta yang sangat menyakitkan.

Hubungan selama 2 tahun tidak dapat dilestarikan kerana halangan di kedua belah pihak. Di pihak aku ibu tidak merestui hubungan kami kerana masalah jarak (dia bukan orang Malaysia).

Aku berusaha bangkit mengubati hati yang lara. Saat tu ada beberapa lelaki yang hadir termasuk suami orang.. huhu.. siap datang rumah jumpa mak ayah aku.. belanja makan itu ini, nak bawa family aku bercuti dekat pulau lah.. semua aku tolak!

Tiada sesiapapun yang mampu membuka pintu hatiku yang terluka teruk saat tu.

Dan suatu hari, saat aku tengah melayan perasaan di pejabat.. terdengar suara seorang lelaki memberi salam di muka pintu. Meja aku betul betul depan pintu masuk ofis.

Muncul seorang pemuda di muka pintu berbaju kameja ungu belang hitam, berkaca mata, berkulit putih dan muka ala ala Chinese look. Nampak hensem dengan janggut sejemputnya. Tapi mukanya masam mencuka, macam kena paksa datang situ.

“Ye, nak jumpa siapa?”

“Saya nak jumpa Mr X, nak daftar diri,” katanya sambil tunjuk fail yang berada di tangannya.

Lepas jumpa Mr X (bos aku), barulah aku tahu gerangan pemuda itu. Aku namakan dia Fir, umur baru 19 tahun. Budak praktikal yang akan bekerja sementara di ofis kami sambil sambung belajar.

Terkejut juga bila tahu umur dia 19 tahun sebab dari rupanya nampak sangat matang. Ingatkan baya baya aku, 25 tahun.

Lepas sesi berkenalan aku diminta oleh Mr X untuk terangkan semua kerja kerja pada Fir. Dia angguk angguk saja, tak banyak cakap budaknya. Aku saja bercakap itu ini tanpa henti henti.

Esoknya aku belanja Fir makan KFC sambil kami berbual tentang isu muka monyok dia semalam. Rupanya dia nak kerja dan timba pengalaman di tempat lain, bukan dekat ofis kami. Ada firm yang lebih gah dia nak pergi.

Tapi aku nasihatkan dia, “kadang apa yang kita tak suka tu, sebenarnya itulah yang terbaik untuk kita”. Aku berceramah pada dia ala ala pakar motivasi. Dia terangguk angguk mengiyakan syarahanku dan mula tersenyum.

Sejak hari itu, aku dan Fir jadi rapat. Selain hal kerja, kami akan berborak macam macam hal lain. Sebab dia adik, aku selesa nak bercerita apa pun dengan dia.

Kalau tak aku memang sangat menjaga hubungan dan batas dengan lelaki. Kalau ada lelaki yang mengorat pun semua aku tak layan. Tapi dengan Fir takpe, dia kan adik. Malah dia lebih muda dari 2 orang adik bawah aku.

Fir sangat matang, tak padan dengan usianya! Matang dari segi fizikal, karakter dan pemikiran. Aku boleh berbual apa saja topik dengannya.

Dia selalu ada idea dan buah fikiran yang bernas. Dan paling aku kagum, dia tersangatlah genius. Sijil sijil dia semua aku dah tengok, memang genius budak ni.

Dia juga ketua pelajar di sekolah menengah dahulu. Jadi, dengan semua karakter yang aku sebutkan itu, korang boleh bayangkan betapa dia ini anak muda yang ada karisma.

Aku yang canggung dengan lelaki, tapi tidak dengan Fir sebab dia seorang adik. Aku boleh bergelak tawa dan berbual hal peribadi dengannya. Kadang aku pun lupa usia dia baru 19 tahun. Adik aku yang lebih tua dari dia pun tak sematang itu.

Kisah cinta aku yang tidak kesampaian dahulu pun Fir tahu. Mana mana mamat atau laki yang ajak aku kawin pun dia tahu. Dia selalu menjadi pendengar setia. Selalu tersenyum sambil mendengar semua omongan aku.

Pernah masa kami nak pergi jumpa client, kakak ofisku pesan jangan pergi satu kereta sebab tak elok kan lelaki perempuan. Dia suruh Fir pergi naik motor kapcai Fir, aku pergi naik kereta aku sendiri. Tapi, diam diam kami pergi saja satu kereta.

Aku siap cakap pada Fir dalam kereta, “kenapa Kak Ina tak bagi pergi sekali ye? Fir adik kot… bukannya kita nak bercinta pun,”.. aku gelak terkekek kekek sambil memandang Fir yang tersenyum senyum mendengar tawaku.

Semakin hari aku makin sedar dia sangat mengambil berat tentang aku. Pantang aku ada masalah, sakit atau sedih..laju saja dia muncul depan aku. Setiap kali datang ofis, aku pun tertunggu tunggu kelibat Fir di muka pintu.

Dia muncul dengan senyuman di pagi hari pun dah cukup buat aku gembira. Dan aku tak pernah pun mentafsir makna bahagia itu. Bagi aku perasaan mesra sebagai kakak dan adik, begitu juga aku harap Fir fikir dan rasa.

Suatu hari aku dan Fir lunch berdua di kedai tomyam berdekatan ofis kami. “Fir, harini akak belanja Fir makan..orderlah nak makan apa,” kataku mesra macam biasa.

Ketika tengah makan nasi dan tomyam panas tu, tetiba ada sekor lalat terbang dan mati betul betul dalam mangkuk tomyam aku.

“La.. kesiannya lalat ni. Aruwah dalam mangkuk tomyam pedas ni.. bla..bla..” aku mengomel apa ntah masa tu. Fir ketawa berdekah dekah, macam lawak sangat apa yang aku cakap tu.

Masa tu masa seolah terhenti seketika. Kalau dalam drama macam adengan slow motion gitu.

Aku renung muka Fir yang tengah beria ketawa, sampai kemerahan muka dia. Masa tu terdetik dalam hati aku, “mamat ni suka dekat aku!”. Iya, saat tu memang terdetik kata kata tu dalam hati.

Sejak tu aku mula memerhatikan semua tingkah dia. Memang nampak layanan dia padaku berbeza dengan layanan dia pada kakak kakak yang lain di ofis.

Hinggalah satu hari aku menerima berita bapa saudaraku masuk ICU di Putrajaya. Balik kerja aku takut nak drive sendirian ke Putrajaya.

Resah dan gelisah. Tetiba Fir muncul disisi aku, “takpe kak, jom pergi Fir drive. Fir teman akak,” kata dia dengan nada tegas.

Aku tergamam, nak pergi ke tidak.. sebab malam malam pula tu, berdua saja dengan dia. Tengah memikir mikir tu Fir amik kunci kereta aku dan terus ajak pergi.

Malam tu dia lain sangat.. tetiba dia macam boyfriend aku pula. Aku pun mengikut saja dia masuk dalam kereta. Sampai Putrajaya aku takde kekuatan nak masuk bilik ICU tu, dia pujuk aku suruh masuk juga.

Gaya dia bercakap sungguhlah macam orang dewasa, bukan seorang adik berusia 19 tahun.

Sejak kejadian itu, aku mula rasa ada sesuatu yang berbeza dengan hubungan aku dan Fir. Akhirnya aku nekad bertanyakan pada dia,

“Akak nak Fir jujur dengan akak. Fir suka akak ke?”. Masa tu aku harap sangat dia jawab Fir sayang akak sebagai kakak sahaja. Itu jawapan selamat untuk keadaan kami. Tapi… jawapan dia memang buat duniaku berpusing seketika.

“Iya, Fir cintakan Hannan..” tu dia. Dia tak lagi memanggil aku akak.. Tapi terus memanggil namaku. Berdebar jantung ni Tuhan saja tahu. Tangan pun menggigil.

Aku tak tahu macam mana nak handle situasi tersebut. Adik kot, baru 19 tahun.. lagi muda dari adik adik aku..beza 6 tahun dari aku.. Arghh… masa tu macam tak tau nak reply apa. Aku terkedu dengan jawapan dia.

Sejak tu juga dia makin serius menunjukkan keikhlasan cintanya. Aku masih dalam keadaan tidak bersedia untuk situasi tu. Rasa janggal bila dia dah tak memanggil aku “Akak”.

Aku uji dia, apa bukti Fir betul betul serius dengan akak? Sebab bagi aku usianya masih mentah.. panjang lagi perjalanannya. Entah entah perasaan yang wujud tu sementara saja.

“Hujung minggu ni Fir bawa mak ayah jumpa Hannan,” begitu saja jawabnya yang membuatkan jantung aku macam nak tercabut! Budak ni memang serius. Dia tak main main. Jenis nekad dan akan pertahankan apa yang dia nak sampai dapat.

Hujung minggu tu tetiba aku duduk terkulat kulat depan mak ayah Fir di sebuah restoran. Fir pula hilang entah kemana. Geram pulak aku. Berpeluh tangan aku mengadap kedua orang tua Fir.

“Kenapa nak dekat Fir? Dia muda lagi..apa pun takde. Cuma ada motor kapcai buruk tu saja. Belajar pun tak habis lagi…,” begitu mukadimah ibunya.

Iya, aku tak nafikan semua itu. Aku juga faham kegusaran hati orang tua Fir. Umur dia baru 19 tahun.. itupun belum betul betul 19 sebab birthday dia nun bulan 12 nanti.. kira aku tengah bercinta dengan budak 18 tahun setengah.. hahahaha.

Aku jawab jujur dengan ibu dan ayahnya. Bahawa aku bukannya terdesak nak berkawin. Kalau nak, ramai saja lelaki yang datang ke rumah bertemu orang tua aku.

Yang tua ada, yang muda ada, yang kaya ada, yang hensem ada.. kalau nak senang aku pilih saja salah sorang tu.

Tapii.. hati aku tak pernah terbuka nak terima depa semua tu. Entah kenapa dengan Fir ni jadi lain. Aku sendiri pun terkejut dengan taqdir yang Allah tentukan ni.

Aku katakan pada mereka, walaupun Fir masih muda, aku yakin dan percaya dia boleh jadi suami dan imam yang baik padaku. Aku 100% yakin pada peribadi dan jatidirinya, Fir sangat matang, bertanggungjawab dan bijak.

Walaupun sekarang ni Fir takde apa apa, aku yakin suatu hari nanti dia akan berjaya! Aku yakin mengemudi bahtera ni bersama Fir!

Subhanallah… aku pun tak percaya dari mana kekuatan itu datang. Orang tua Fir pun tak terkata apa setelah mendengar hujah aku yang sebegitu yakin.

Sejak pertemuan itu bermulalah kami untuk persiapan menikah. Aku sendiri pun macam tak percaya secepat itu hubungan aku dan Fir.

Tak sampai pun 6 bulan dia jejakkan kaki ke KL, tup tup dah nak jadi suami orang. Meski ada beberapa halangan, terutama sedara mara yang begitu gusar memikirkan aku akan menikah dengan seorang budak berusia 19 tahun, namun taqdir Allah biasanya berakhir dengan hal terbaik.

Akhirnya saat dan waktu yang mendebarkan itu tiba. Sewaktu melihat Fir muncul berbaju melayu putih di masjid… melangkah tenang melewatiku untuk duduk di depan tok kadi, hatiku berdesir bahagia.

Subhanallah.. ternyata inilah jodoh yang Allah tetapkan untukku.

Seorang lelaki yang puas ku panggil adik selama ni, rupanya dialah jodoh yang tertulis di Luh Mahfuz untukku. Benar benar jodoh yang tak disangka sangka. Usai melafaz akad, dia mendatangiku.

Aku salam dan cium tangannya… terasa seolah aku masih bermimpi. Mimpi yang bersatu dengan realiti. Rasa bahagia, hiba, terharu semuanya bergumpal dalam dada.

Momen paling sukar lepas menikah tu, nak panggil dia “abang”..haha.. sedangkan sebelum ni puas dia panggil aku sebagai akak.

Alhamdulillah kini sudah masuk 12 tahun usia perkahwinan kami dengan 3 cahaya mata.

Nasihat aku pada yang terlibat dalam cinta beza usia, usahlah difikirkan sangat tentang UMUR kerana ia hanya 1 angka.. yang tak melambangkan keperibadian seseorang.

Ada saja orang tua tapi fikiran tak matang, ada saja orang muda tapi jauh lebih matang dan berwawasan.

Apa yang penting selidiklah sikapnya, karakter dan budi pekertinya. JIka dia seorang lelaki yang baik dan penuh dengan tanggungjawab, dia pasti akan menjaga dan membahagiakan pasangan sebaiknya.

Aku teringat kembali pesan kakak angkatku saat aku menangis pada percintaan yang menyakitkan dahulu, “Hannan, taqdir Allah biasanya berakhir dengan hal terbaik. Jika kau belum menemuinya, bermakna ia belum berakhir,”

Dan kini aku memahami maksud tersebut. Terima kasih Allah untuk saat terbaik ini!

Cukuplah sampai disini dahulu cerita cinta antara aku dan Fir. Ada masa nanti boleh sambung kisah kedua. Bagaimana kehidupan berkahwin dengan budak berusia 19 tahun?

Apakah cabarannya… mesti ramai ingat aku akan jadi queen control disebabkan umurku yang jauh lebih tua dari Fir. Selepas 12 tahun apa jadi dengan Fir?

Berjayakah dia seperti keyakinan yang aku tanamkan saat berdepan dengan orang orang tuanya 12 tahun yang lalu…. (dah macam telenovela pula ye.. hehehe).

InsyaAllah ada masa nanti akan ku sambung kisahnya, terima kasih sudi membaca kisah Cinta dan Jodoh yang ditulis Tuhan untukku dan juga Fir. Semoga kalian juga menemui taqdir terbaik yang Tuhan tentukan untuk kalian!

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber : Hannan (Bukan nama sebenar) via IIUMC via e-kesah