“Ayah Pergi Buat Selamanya, Tapi Pelik Kenapa Aku Tak Nangis” Aku cuba paksa nangis dalam toilet tapi rasa macam nangis palsu
Foto Sekadar Hiasan
Assalamualaikum semua, apa khabar? Semoga sihat sentiasa hendaknya.
Aku perkenalkan diri sikit. Aku lelaki awal 30-an. Aku bekerja sendiri sahaja dan sebelum ini aku merupakan bekas pegawai kerajaan. Sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak. Itu sahajalah pengenalan diri aku ini…
Aku dah lama nak menulis di ruangan ni tapi oleh kerana kekangan waktu dengan tanggungjawab rumah tangga, aku tangguhkan dulu. Waktu sekarang jam 11.20 malam… anak dan isteriku sudah pun masuk tidur.
Aku masih menatap skrin komputer dengan kerja kerja online dan mengemas kini kedai Shopeeku. Tiba tiba hati aku sedih dan rindu itu mula bertandang… satu per satu memori indah itu keluar… izinkan aku meluahkan di sini…
Siapa yang aku rindui? Aruwah ibu ayahku…
Aruwah ayahku meninggal kerana sakit jantung ketika beriadah pada tahun 2006. Beberapa minggu lagi aku akan menghadapi ujian PMR.
Kematian yang mengejut.. Masih aku ingat suasana petang itu…
Aku baru sahaja pulang daripada bermain bola sepak bersama kawan kawan sekolah. Sampai sahaja di rumah aku melihat aruwah ibuku sedang sibuk mengemas baju baju dan beberapa barang keperluan. Aku bertanya ringkas,
“Kenapa ibu? nak pergi mana?” Bilang ibuku Haji Bohari (kawan ibu dan ayah) mengatakan ayah di hospital lantas menyuruh aku bersiap kerana nanti ada orang jemput untuk ke hospital.
Aruwah ibuku memang tak pandai memandu kereta. Kalau hendak ke mana mana memang bergantung kepada ayahku. Aruwah ibu seorang penjawat awam dan aruwah ayah merupakan pesara kerajaan.
Aku pun tak fikir apa. Panik pun tidak. Aku tenang tenang saja. Mungkin salah satu sifat aruwah ayah menurun padaku. Aruwah ayahku seorang yang tenang tenang aja, pendiam, cool, tak cepat gelabah.
Aku lihat ibuku pun takdalah menunjukkan reaksi panik. Aku pun bergegas nak mengambil wudu’ sebab waktu tu aku belum lagi solat asar.
Namun belum sempat pun aku tunaikan kewajipan, datang anak kepada kawan ibuku. Aku lupa namanya (aku namakan kak A) tapi duduk berdekatan dengan rumah kami. Dia datang berkereta. Fikirku mungkin nak hantarkan kami ke hospital.
“Mak cik… mak cik tak tahu ke…. suami mak cik dah terbaring di kedai dekat simpang bawah tu…” terketar ketar Kak A menjelaskan kepada kami. Aku bagaikan kaku. Ibu pula bagaikan tak percaya.
Kedai yang dimaksudkan itu ialah kedai mamak yang selalu aku dan aruwah ayah kunjungi yang berada dengan berdekatan rumah kami. Kenapa Haji Bohari kata ayahku berada di hospital? Rupa rupanya Haji Bohari tak sampai hati nak sampaikan berita itu…….
Tanpa berfikir panjang kami terus menaiki kereta Kak A menuju ke kedai berkenaan. Sampai sahaja di kedai berkenaan kami lihat ramai orang berkerumun. Ku lihat terdapat juga kereta peronda polis di situ.
Kami turun dari kereta. Aku memimpin ibuku. Kami melihat sekujur tubuh terbaring di hadapan kedai.
Ibuku berteriak, “Ya Allah…” Kakinya mula longlai dan aku sempat memapah ibuku. Apa perasaan aku ketika itu? Aku tak sedih dan tak rasa apa apa…. aku bagaikan kaku… Berita kematian ayahku terselit di dalam akhbar….
Sepanjang menguruskan jnazah aruwah ayah… aku tak menangis. Sehinggalah aruwah ayah dikebumikan…. Aku hairan kenapa aku tak menangis??? Aku cuba menangis di dalam bilik air… aku rasa tangisan aku itu dibuat buat atau palsu.
Aku sedih tak? Ya aku sedih tapi tak boleh menangis…
Sejak kematian aruwah ayah, aku tinggal bersama ibu. Aku hanya ada kakak seorang dan waktu tu dia sedang mengambil diploma di sebuah universiti. Jadi hanya aku dan ibu sahaja yang duduk di rumah itu…
Untuk pengetahuan pembaca, aku ini seorang yang malas mengaji, tak solat. Tapi pada tahun itu ketika aku berada di tingkatan 3 kerana aku tertarik dengan bacaan al quran Qari Syeikh Saad Said al-ghamidi di radio IKIM…
Aku mula mengaji (walaupun tak lancar), solat dan rajin puasa sunat. Aku selalu juga solat malam.
Aku cerita ni bukan nak bangga diri tapi nak kata yang aruwah ayahku beritahu pada ibu yang dia suka dengan perubahan aku. Inilah yang aruwah ibu sampaikan.
Sewaktu aruwah ayahku hidup, aku selalu buka radio IKIM sebelum tidur sebab ada bacaan al quran tengah malam dan lantunan zikir.
Kadang kala aku tertidur dan aruwah ayah la yang selalu tutupkan radio di bilikku… Aruwah ayah aku ni memang pendiam saja orangnya.
Kalau marah pun takda maki hamun mencarut. Aruwah ibu aku cerita lagi. Sebelum aruwah ayah aku meninggal petang tu…. dia ke pasar bersama ibu… aruwah ayah tanya pada ibu, “nak beli ayam tak? boleh masak lauk kegemaran anak”.
Ya…. pada hari kemaatian dia, aku nampak lauk ayam masak merah di dapur yang telah dimasak tapi aku tak sempat jamah lantaran menerima berita yang mengejutkan tu… Aku cerita benda ni sebab bagi aku ini memori indah.
Sepanjang aruwah ayah hidup, aku tak tahu pun yang dia sayang aku macam tu sekali. Kalau ibuku tak bercerita memang sampai sekarang la aku tak tahu kisah ni.
Ok sekarang aku nak cerita mengenai aruwah ibuku pula.
Selepas aruwah ayah meninggal, ibu rasa hilang semangat. Separuh nyawanya bagaikan hilang bersama ayah.
Berbulan juga kami rasa seperti aruwah ayah hidup dan menunggu dia pulang ke rumah. Ibuku masih bekerja sebagai penjawat awam. Tinggallah kami berdua di rumah itu..
Aku masih ingat sewaktu aku pulang ke rumah membawa keputusan PMR. Aku berpura pura sedih di depan ibu seolah olah keputusan peperiksaan yang aku dapat ni teruk sangat. Ibu cakap kata kata yang cukup indah dan aku ingat sampai sekarang…
“Takpalah… result tak baik pun ibu terima. Lagipun dah buat yang terbaikkan..”
Aku rasa terharu… aku bersyukur sebab ibu ayah aku ni tak pernah nak bandingkan anak anak. Aku sebenarnya dapat keputusan yang memuaskan iaitu 6A (terbaiklah bagi aku).
Aku memang berniat nak sambung ke SMKA Bandar Penawar sebab cita cita aku nak ambil aliran agama. Namun pada waktu itu aku terpaksa batalkan hasratku kerana ibu tinggal keseorangan kalau aku pergi ke sekolah tu…. aku rasa sedih…
Aku kalau balik sekolah jalan kaki saja. Waktu petang memang aku sorang jela kat rumah. Buat kerja sekolah atau ulang kaji pelajaran.
Setiap kali balik sekolah memang akan ada bungkusan makanan di pagar yang dikirim ibu melalui kawan sepejabatnya. Aku memang tak reti masak dan takda kesedaran nak belajar masak waktu tu.
Aruwah ibu pula waktu kerja memang takda masa nak balik rumah. Kereta pun tak pandai memandu, pergi kerja naik prebet sapu saja…
Kereta aruwah ayah, akulah yang bawa pusing pusing sekitar taman perumahan aku. Dengan takda lesennya tak bolehlah jalan jauh jauh huhu.
Owh kan aku ada cerita yang ibu jadi hilang semangat (down), bersedih sebab kemaatian aruwah ayah.. Pada penghujung tahun 2007 (aku tingkatan 4) kesihatan ibu mula merosot. Ibu jadi kurus. Kadang kala nak bangun dari kerusi pun perlu bantuan aku.
Waktu tu ibu memang dah ada knser payu dara dan selalu berulang alik ke hospital ditemani aku. Kesihatan yang semakin merosot dan tubuh menjadi terlalu kurus menyebabkan ibu akhirnya terlantar di katil sahaja.
Rupa rupanya selain knser ibu juga menghidap penyakit tulang iaitu Parkinson.
Ibu sebagai penjawat awam dapat cuti sakit bergaji kerana barah selama 2 tahun. Ibu sukar bergerak sehingga nak halau nyamuk di tangan juga perlukan bantuan aku.
Aku tidur di sebelah ibu setiap malam. Aku uruskan ibu. Makan, pakaian, mandi, berak kecing juga aku yang cucikan. Ibu sudah memakai lampin dewasa ketika itu.
Setiap kali ke hospital, akulah yang mendukung ibu dan menyorong kerusi rodanya. Aku selalu tidak hadir ke sekolah kerana menjaga ibu.
Guru guru ada yang memahami dan ada pula yang mula jemu dengan alasanku…
Mujur waktu tu ibu masih mendapat gaji dan mengupah orang untuk menjaganya waktu pagi hingga tengah hari sementara menunggu aku balik dari sekolah. Selepas itu giliran aku pula menjaganya.
Waktu tu aku rasa waktu yang sukar buat diriku namun sekarang aku rasa itulah memori yang terindah.
Kadang kadang sebelum waktu tidur tu selalu saja berborak dengan aruwah ibu. Cerita itu dan ini. Indah betul… Aku tak tahulah aku belajar dari mana sehingga boleh uruskan orang sakit seperti ibu.
Panjang betul cerita aku dekat atas ni… aku pendekkan sikitlah ya… aku nak luah semua…malas nak luah buat kali kedua…
Selepas tamat SPM, keputusan SPM aku tak berapa baik. Aku ada ambil subjek Syariah Islam dan Bahasa Arab Tinggi secara persendirian.
Marah betul pengetua aku sebab takut jejaskan peratus lulus sekolah sebab aku sorang saja yang ambil subjek tu dekat sekolah. Alhamdulillah subjek tu aku lulus….takda pula dia ucap tahniah ke apa…
Aku tak dapat tawaran sambung belajar ke IPTA. Aku rasa kecewa sangat. Rasa masa depan yang kelam. Sementara itu aku masih menjaga ibu. Kesihatan ibu juga semakin merosot dan mula bercakap sesuatu yang tak dapat difahami. Macam meracau gitulah…
Tak lama selepas itu, aku dapat tawaran tingkatan 6 dalam aliran agama di SMKA Bandar Penawar. Sekolah yang aku idamkan nak masuk sewaktu tingkatan 3 dulu…
Namun sekali lagi aku terpaksa tolak kerana tiada siapa yang boleh jaga ibu. Kakak ku pula masih belajar di universiti. SMKA tu pula jauh dari rumah dan memang kena duduk asrama di sana…
Maka dengan bantuan ayah saudaraku, kami turun naik PPD bagi uruskan pertukaran sekolah. Aku akan teruskan pengajian tingkatan 6 di sekolah lamaku…
Urusan pertukaran ni pun ambil masa sekitar 2 bulan. Maka 2 bulanlah aku tak ke mana mana duduk rumah bersama ibu sahaja. Dalam kesakitan dan keadaan nazak ibuku itu pun dia masih bertanya,
“Macam mana urusan tukar sekolah? Dah selesai?”
“Baju sekolah dah beli?”
Akhirnya aku dah boleh mula bersekolah di sekolah lama. Baju sekolah semua dah beli siang tadi. Esoknya aku akan mula bersekolah sebagai pelajar tingkatan 6.
Malam itu…… ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir… seolah olah urusannya sebagai seorang ibu juga turut selesai…………….
Sejak dari itu aku mula tinggal bersama kakak. Kakakku tidak menyambung ijazah dan mula bekerja. Dipendekkan cerita aku tamat tingkatan 6 selama setahun setengah. Sepanjang peperiksaan aku selalu gagal dan dapat CGPA tak lebih 2.00.
Susah beb waktu tu… tapi takdir Allah aku dapat 3.58 dalam STPM dan salah seorang pelajar terbaik ketika itu.
Lepas tamat STPM, akak aku mula berkahwin dan duduk asing bersama suami. Dia ada juga mengajak aku duduk dengan dia tetapi aku menolak kerana tidak mahu ganggu privasi. Lagi pun aku lelaki yang dah dewasa. Aku memilih untuk duduk di rumah pusaka ini.
Gais… sekarang dah 1.10 pagi… perlu ke aku tamatkan cerita ni? Banyak lagi aku nak cerita sebenarnya sebab lama dah aku pendam….
Patut ke aku sambung dalam confession akan datang atau tak perlu? Kalau tak perlu takpalah, biarkan aku pendam sahaja…
Wassalam..
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: ekisah.com