“Ayam Tinggal Seketul, Baru Aku Nak Ambik Cepat2 Ibu Rampas Bagi Adik” Kakak kena berkorban, itu kata ibu

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Terima kasih admin siarkan kisah saya. Minta maaf andai penceritaan saya berterabur. Ini kali pertama saya menulis.

Bunga cantik penyeri keluarga. Selalu kita dengar kalau dapat anak perempuan cantiknya ibarat bunga penyeri keluarga.

Saya mulakan dengan perkenalan diri serba sedikit. Saya seorang perempuan, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Saya tunggal perempuan dari 5 beradik.

Saya dibesarkan oleh ibu ayah yang baik dan bertanggungjawab. Cuma yang buat saya agak terkilan mereka menganggap anak lelaki adalah segala galanya, lebih penting, peneraju keluarga, perwaris harta, penjaga mereka masa tua.

Kalau ada saudara mara yang tiada anak lelaki, pada mereka sangat menyedihkan bagai kurang 1 anggota badan. Bagaikan sebuah keluarga itu tidak lengkap.

Oleh kerana saya seorang perempuan dan anak pertama, saya sudah dididik dari kecil untuk berkorban dan mendahulukan adik adik saya. Alasannya saya perempuan, dan saya kakak yang sulung.

Saya masih ingat masa saya masih sekolah rendah. Ibu goreng ayam untuk lauk kami adik beradik, ada tinggal seketul setelah semua orang makan.

Saya duduk sebelah ibu dan baru berkira untuk mengambilnya tapi ibu lebih dulu letakkan Ayam terakhir itu di pinggan adik saya yang telah habis makan sambil berkata pada saya kakak kena mengalah dengan adik walaupun adik saya menolak waktu itu kerana telah kenyang.

Saya rasa sedih ibu lebih nampak adik yang kenyang dari saya disebelah yang baru nak makan. Walaupun hanya seketul ayam tapi perit untuk saya yang masih kecil.

Banyak lagi kisah yang buat saya terasa untuk isu remeh temeh seperti ini tapi rasanya tak perlu diceritakan disini.

Saya tekadkan dalam hati suatu hari nanti saya akan buktikan anak perempuan juga mampu berjaya, mampu bertanggungjawab terhadap keluarga sama seperti anak lelaki.

Masa berlalu, waktu remaja saya cuba berjauhan dan duduk diasrama. Bila jauh, kurang sikit perasaan itu.

Saya dan adik berjaya tempatkan diri di IPTA (jarak saya dan adik hanya setahun) dan masa itu mereka belikan adik saya kereta dengan alasan senang untuk adik saya ulang alik ke IPT tapi tidak untuk saya kerana saya tiada lesen.

Saya abaikan semua tu, saya tidak mempersoalkan lagi pada mereka. Kalau dulu semasa kecil saya akan memberontak dan bertanya kenapa begini, begitu. Tapi semakin dewasa saya sudah tahu jawapannya lalu pendamkan saja dan malas menimbulkan isu.

Untuk berjaya ‘graduate’ dan mendapatkan kerja adalah perjalanan yang sukar buat saya.

Semasa tahun akhir kena siapkan report sambil praktikal sangat mencabar kerana saya duduk dirumah keluarga. Pergi kerja naik bas, atau teksi, hujung minggu kena siapkan report dan hantar kepada pensyarah.

Tapi ibu tidak faham. Ibu ingat saya bercuti. Pantang sahaja hari sabtu dan ahad, sudah tersenarai kerja yang perlu saya siapkan sebagai seorang anak perempuan. Sarapan, basuh baju, makan tengahari, minum petang. Alasannya ini kerja perempuan.

Adik adik tak sesuai buat, nanti dirumah mertua tak tahu buat kerja. Begitulah bebelan ibu.

Setelah graduate, akhirnya saya dapat kerja dekat dengan rumah, kembali duduk dengan keluarga dengan gaji SPM tak setanding ijazah saya. Buat pinjaman untuk ambil kancil ‘secondhand’ pun tidak lepas. Ayah yang hantar saya setiap hari.

Bermula la kembali episod tekanan saya. Saban hari mereka bandingkan saya dengan adik saya yang diploma gaji lebih tinggi dan senang dapat kerja berbanding saya yang ijazah tapi susah dapat kerja.

Adik saya lelaki, waktu dia sehari suntuk pun boleh menghadap laptop cari kerja, diberi kereta, dan bebas untuk cari kerja di luar daerah kami.

Berbanding saya, waktu saya dirumah dipenuhi jadual kerja rumah, tiada kenderaan, dan tak di izinkan kerja tempat yang jauh.

Saya faham mereka risaukan saya, tapi jangan pula bandingkan rezeki saya. Walaupun gaji saya kecil dari adik, saya bagi ibu ayah sama banyak dengan adik saya yang gaji lebih besar dari saya.

Masa berlalu, kami semakin dewasa. Adik sudah sibuk hendak kahwin saya masih sibuk cari kerja lain yang lebih baik.

Adik saya bila saja cuti hujung minggu sudah bersiap untuk keluar ‘dating’ tapi bila saya kata saya nak keluar hujung minggu sudah siap senarai kerja. Ibu akan cakap siapkan kerja dulu baru boleh keluar.

Sudahlah kalau keluar kena naik bas atau train, sudahnya saya lebih suka lepak, tidur dirumah dari bersocial. Ibu bising pula adik dah nak kahwin saya belum jumpa jodoh.. haha dia tak bagi adik kahwin dulu, langkah bendul katanya.

Akhirnya bertemu jodoh juga saya, tak bercinta pun, terus kahwin kerana ibu dah mendesak adik nak kahwin.

Masa majlis pun tema dan menu perkahwinan saya, ibu lebih mendengar pendapat adik lelaki berbanding saya sendiri yang menjadi pengantin. Saya ikutkan saja.

Alhamdulillah sekarang rezeki lebih baik. Dapat kerja lebih baik, dapat beli kereta dan rumah. Duit gaji saya tidak luak kerana suami yang menanggung saya, jadi duit saya banyak saya habiskan untuk ibu ayah.

Berbanding adik adik saya, mereka tidak dapat tumpukan tanggungjawab sepenuhnya pada ibu ayah kerana mereka juga ada anak isteri yang perlu ditanggung.

Saya cuba tunaikan apa sahaja permintaan mereka, hujung minggu cuba meneman meraka. Sentiasa periksa didapur apa yang tidak cukup.

Makna kata, anak perempuan sebenarnya yang lebih prihatin, yang lebih ada banyak peluang dari segi kewangan dan masa untuk ibu ayah berbanding anak lelaki. Tapi ini tidak mengubah persepsi mereka.

Malangnya, anak saya juga terima tempiasnya. Mereka kata anak perempuan saya bukan waris keturunan mereka kerana cucu perempuan dan lahir dari rahim saya iaitu anak perempuan mereka. Cucu lelaki mereka adalah waris harta mereka.

Sumpah saya kecewa, saya tidak harapkan harta untuk anak saya. Saya akan usaha cari sendiri. Bukan sekali mereka bercakap tapi berkali kali…

Allah pedihnya.. sebab ini saya terpanggil untuk meluah. Kadang hampir putus asa untuk memenangi hati mereka.

Dulu masa saya kecil, bila saya menangis kata ibu sayang adik lebih dari kakak, ibu akan cakap ibu sayang sama semua anak ibu. Tapi sekarang saya sudah dewasa saya masih merasai perasaan itu, adakah saya yang terlalu emosi?

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: Bunga layu (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia