“Betul Ke Awak Dengan Mak Yang Sihir, Rupanya Nama Aku Dipetik” Time raya, tiba2 suami mesej nak cerai
Foto sekadar hiasan
Hi semua. Assalamualaikum selamat sejahtera.
Nama saya Hana. Saya baru 25 tahun awal tahun haritu. Dan ada anak sorang, Ahmad. Hidup bahagia selama hampir 4 tahun bersama anak dan suami.
Orang kata saya ni taat suami. Pasangan bahagia. Orang hampir tak tahu saya pernah bergaduh dengan suami. Tapi memang pun, saya dan suami jarang gaduh. Kalau gaduh, 5 minit baik semula. Alhamdulillah Allah bagi bahagia.
Saya sepanjang perkahwinan, memang usaha sebaik mungkin untuk jadi isteri mithali. Ikut dan taat pada apa yang suami katakan dan pesan.
Rutin harian. Duduk rumah. Jaga anak. Jaga suami. Tak pernah keluar rumah selain bersama suami dan anak. Kalau kadang keluarga datang tu ada lah tanpa suami. Tapi boleh dikatakan memang tak keluar kalau suami kerja. Membawang dengan jiran pun tidak.
Suami pun tak izin keluar kerana risaukan saya seorang diri kalau melepasi pagar rumah. Jadi, kedai runcit pun saya tak pernah jejak seorang diri.
Sepanjang kahwin. Saya tak kerja. Saya hanya buat bisnes sendiri saja. Dari rumah. So basically memang duduk rumah 24/7.
Saya dan suami memang jenis jaga solat 5 waktu. Kitorang saling nasihat dan tegur. Memang itu perlu dalam perkahwinan kan. Saling nasihat untuk melengkapi. Kira kami tak ada masalah komunikasi. Sebab suami soft spoken. Susah nak tinggi suara.
Suami saya baik. Baik sangat dengan isteri dan anak. Apa yang kami nak, suami akan cuba tunaikan kalau mampu. Takdelah minta banglo. Mostly kalau teringin makan apa apa memang suami akan usahakan. Nak berjalan, suami bawa.
Sepanjang kahwin saya tak pernah simpan apa apa dekat suami. Kalau terasa hati pun, tak dendam. Anggap saja ianya persinggahan saja nak kacau minda sekejap. Hehe.
Kitorang happy. Happy sangat lah. Dia perfect husband pada saya. Kawan kawan pun kata susah nak dapat suami macam dia. Rajin tolong kemas rumah. Basuh pinggan. Paling rajin basuh toilet.
Saya basuh juga. Tapi kadang dia tak tahu. Dan saya tak beritahu sebab takde keperluan nak beritahu semua kan. Hehe.
Sebagai isteri, saya usaha yang terbaik untuk jadi isteri yang baik. Yang menyenangkan hati suami. Yang dengar kata suami. Yang tak pernah mencarut atau memaki suami.
Saya memang penyabar orangnya kalau siapa yang kenal, hehe. Akan marah bila dah tahap maksima. Itu pun marah sambil menggigil mulut.
Macam macam kitorang plan laki bini sebenarnya untuk masa depan. Walau hakikatnya sekarang ni dah akhir zaman. Tak tahu lama mana kan. Tapi still plan itu ini. Huhu
Pendekkan cerita.
2 minggu sebelum puasa. Saya telah dihantar balik ke kampung mak ayah saya. Sebenarnya, kitorang memang plan nak balik kampung. Sebab takut raya nanti PKP. Tapi memang betul PKP kan. Haha.
So dapat kebenaran rentas negeri. Tapi saya pelik waktu suami sampai rumah, ada 2 surat kebenaran. Saya tanya kenapa ada dua. Dia jawab, “abang hantar sayang saja”
Waktu tu. Saya terkedu. Saya nekad tak nak balik kampung saya. Sebab kami plan nak balik bersama. Tapi husband paksa saya balik. Waktu tu, saya baru habis lipat baju. Tak sempat pun nak susun dalam drawer. Sambil nangis, sambil packing beg. Taat suami kan, jadi saya ikut.
Nak jadikan cerita. Mak suami sakit dah lama. Buatan orang katanya. Saya tak tahu sejauh mana kesahihan dan tahap sakit tu. Sebab sepanjang kahwin, saya tak dibenarkan untuk tahu tentang sakit mertua saya tu.
Tapi sebab suami baik, dia cerita juga lah dekat saya. Sebab dah jadi isteri kan. Hehe.
Waktu saya dan anak dihantar balik kampung, waktu tu juga mertua saya tengah sakit. Saya support suami saya sepanjang kahwin untuk taat dengan ibu ayahnya. Memang tak pernah say NO setiap kali suami suruh atau pesan itu ini setiap kali jumpa ibunya.
Contohnya, balik kampung mertua. Suami akan pesan siap siap banyak kali, “jangan buat muka”, “jangan bagi punggung waktu bercakap dengan ibu”, “tengok muka ibu senyum waktu bercakap denga ibu” dan lain lain. Saya ikut, saya usaha untuk tak terlepas pandang semua tu.
Walau kadang kita manusia biasa ada juga terasa hati, tapi saya tak dendam. Let bygones be bygones. Jadi saya tak tahu kot lah ibu mertua ada terasa dengan saya. Sebab saya dah cuba yang terbaik setiap kali jumpa mertua. Hehe
Mertua saya baik. Tak pernah tinggi suara. Sangat baik layanan dengan anak menantu. Kira perfect family lah. Tapi diuji dengan sakit. Sebab tu saya kasihan. Saya usaha taknak kecilkan hati atau kurang ajar dengan mertua. Sebab saya sayang mertua saya.
Back to story. Lepas saya duduk kampung. Suami janji akan jemput saya dan anak balik beberapa hari. Tapi saya mula pelik bila suami nak taknak layan saya. Lepas tu suruh saya stay kampung sampai puasa pulak.
Call pun tidak. Selalu akan call sebelum tidur walau busy macam mana pun. Anak nak call pun dia tak angkat. Tapi saya faham waktu tu mungkin dia tengah stress sebab ibu mertua sakit teruk. Tak cukup tidur dan sebagainya.
Tapi, hari demi hari. Layanan makin tak bagus. Saya mula rasa tak sedap hati. Last last… saya tanya apa sebenarnya yang berlaku?
Suami reply mesej, “kalau abang tanya, sayang jawab dengan jujur demi Allah. Walau pahit biarkan jujur”
Saya mula fikir apa salah saya? Saya jawab, “ya, apapun sayang akan jawab jujur” kot lah kan, kisah silam saya pakwe lama ke haha.
Oh ya, sebelum kahwin saya memang ramai kawan lelaki. Sebab saya main skateboard. Kawan dengan perempuan pun ramai. Tapi perempuan kan banyak drama haha.
So bila dah kahwin, saya memang tak ada langsung mesej kawan kawan lelaki. Lost contact terus. Kalau diorang mesej, saya seen saja. Sebab taat suami. Saya fokus pada suami saja.
Ok so,
Lepas maghrib tu, saya buka whatsapp. Lepas saya baca, saya nangis sungguh sungguh dan lari masuk bilik mak. Mak tengah ngaji waktu tu. Saya peluk mak. Sambil teresak esak, mak tanya, “kenapa?”
Suami tanya macam ni dekat saya.
“Betul ke sayang dan mak sihir abang, ibu dan acik (adik ipar bongsu)?”.
Saya tak pernah terfikir akhirnya saya yang akan dituduh difitnah menyihir suami dan mertua.
Saya buntu. Saya jem. Stress. Tekanan yang amat sangat. Hampir putus asa. Tapi melihat wajah anak yang waktu tu baru berumur 1 tahun 9 bulan. Saya kuat.
Saya? Saya sihir suami? Suami yang saya sayang, cinta? Untuk apa???
Saya cuba usaha macam macam.
Perkara pertama saya buat, saya cari ruqyah syarie untuk saya tentukan samada betul ke ada jin yang mengganggu saya. Yang menyebabkan semua ni jadi.
Alhamdulillah, beberapa peruqyah yang saya berubat. Masing masing kata saya hanya mngsa fitnah.
1. Orang yang ada jin/gangguan/penyihir, ruqyah tak sampai 5 minit selalunya akan tunjuk kehadiran jin tu.
2. Sepanjang ruqyah, 1 jam tu saya tenang. Ibarat mendengar bacaan Al Quran biasa. Tiada respon yang pelik seperti kerasukan atau sebagainya.
Sebab saya pun tak buat semua tu kan. Jadi saya tak rasa apa apa. Saya tak pernah terdetik nak jumpa bomoh, atau belajar menyihir orang. Benda syirik kan? Macam mana keluarga mertua, suami saya terutamanya terus boleh percaya bahawa saya yang menyihir?
Oh iya. Punca nama saya naik sebab jin tu tiba tiba sebut nama saya “aku Hana” so automatically mak ayah mertua saya call suami dan menyuruhnya pulang ke kampung.
Dan menjauhkan diri daripada saya dan anak sehingga sekarang.
Suami saya berubah. Sangat berubah. Bukan suami yang saya kenal sepanjang kahwin.
Call anak boleh kira. Tanya khabar saya memang tidak lah hehe. Nafkah, bagi setiap bulan. Cuma bulan ni saja nafkah saya dia tak beri. Sebab dia kata saya curang.
Ada cerita dia yang ni. Haha. Jadi saya tak layak dapat nafkah suami. Lawyer kata saya belum diisytihar nusyuz pun, so saya layak dapat nafkah. Tapi saya tak kisah pun duit dia.
Alhamdulillah, sepanjang diuji ni. Rezeki masuk tanpa henti. Bisnes saya boleh kata berjalan lebih baik daripada sebelum ni. Rezeki anak saya, syukur sangat.
Ya lah. Kena tuduh sihir pun sebab dia kata saya nak harta dia. Sampai rumah pun dia jual tanpa saya tahu. Barang barang dalam rumah tak boleh dibawa katanya.
Jadi saya dan keluarga minta surat rentas negeri atas alasan pindah rumah dengan 2 kereta ambil baju saya dan anak saja.
Dan ada barang sikit yang baru beli saya ambil. Dijual rumah fully furnished kerana katanya saya dah pagar rumah tu. Hmm. Waktu tu pun dia tak ada. Dia di rumah ibunya, cuti sebulan tanpa gaji.
Saya tak tahu kenapa mudahnya suami percaya kata kata jin. Sedangkan dia sendiri tahu password phone saya, segalanya dia boleh buka bila bila masa saja. Sebab kami saling percaya satu sama lain.
Tapi itu lah; ujian kan. Saya yakin ni bahagian saya dan anak didunia. Saya dah redha.
Suami kata tak akan sampai bercerrai. Sebab dia suruh saya sabar, tunggu jawapan dari Allah. Tapi, saya tak nampak usaha dia betul betul nak kami kembali kepada dia.
Hanya menunggu jawapan Allah. Betul ke tu? Dan dia kata tak tahu lama mana, berapa tahun pun. Saya kata, “iya, saya boleh tunggu.” Yang penting dia layan saya dan anak macam biasa.
Tapi itu lah. Dia tetap begitu. Kadang kadang dia beritahu ibu dia jadi lagi. Dan nama saya lagi dan lagi yang jin tu sebut. Saya dah redha. Ujian kan.
Sampai lah raya Aidilfitiri hari tu. Ibu mertua berubat lagi. Dan jin tu sebut nama saya lagi. Suami senyap terus beberapa hari. Dia warning saya jangan mesej lagi ibu dan ayahnya.
Saya hanya mesej seperti kebiasaan, setiap tahun hari raya saya akan mesej selamat hari raya dan minta maaf. Cumanya, tahun ni lebih banyak minta maaf sebab saya nak pulihkan hubungan kami. Saya tak nak benda ni berterusan dan kami renggang.
Tapi apakan daya. Bluetick saja yang saya dapat Saya redha. Hihi
Waktu tu juga. Suami tiba tiba mesej saya kata nak cerrai. Atas alasan dia nak ibunya sihat, happy. Saya tanya kenapa, jawapan sama lah tu saja. Sebab dia kata tak nampak dah jalan lain. Dia kata ibu hanya ada satu saja. Isteri dan anak boleh cari lain. Saya redha.
Saya rela undur diri sebab saya nak ibu mertua saya sihat. Saya nak dia happy dengan anak anak. Saya betul betul reda untuk melepaskan suami balik ke keluarganya. Walaupun hakikatnya saya taknak, saya masih nak pertahan masjid yang kami bina, sebab anak.
Anak saya belum puas rasa kasih sayang seorang ayah. Saya tak sangka anak saya akan berada dalam title broken family sedangkan kami laki bini sampai sekarang masih mendapat kasih sayang yang sempurna dari mak dan ayah kami.
Malangnya, selepas saya rela undur diri. Ibu mertua masih sakit. Dan masih nama saya yang jin tu sebut. Saya persoal, kenapa? Apa tujuannya bercerrai kalau ibu mertua masih sakit?
Saya sehingga kini reda. Cukup reda. Dan saya bersyukur sangat sebab masih ada mak ayah, adik beradik yang sangat supportive. Mereka lah yang beri semangat dan sentiasa bersama saya sampai saat ini.
Anak juga asbab paling kuat saya sabar dan tenang dalam menghadapi ujian ni. Saya percaya ada yang lebih baik untuk saya dan anak.
Sekarang, kami dalam proses percerraian. PKP kan, susah sikit. Proses jadi lambat. Tapi kami pun memang dah bukan macam laki bini. Mesej hanya benda penting.
Kalau suami saya baca confession ni. Saya nak dia tahu, yang saya dan anak boleh kuat dan hidup walau tanpa dia. Saya akan buat apa saja untuk besarkan anak. Dulu dia janji dia takkan cerraikan saya walau apa pun.
Tapi kali ni ujian kami dia terpaksa cerraikan saya walau sebenarnya ada banyak cara dan usaha untuk baiki semua ni. Tapi dia tetap pilih untuk tinggalkan saya dan anak.
Saya nak beritahu kalau dia baca ni, saya dah cukup tawar hati dengan apa yang berlaku. Maruah keluarga saya, dibuat main main.
Kami sekeluarga request nak ke rumah mertua, untuk berbincang secara depan depan pun mereka tolak. Apa lagi yang kami boleh buat? Ini saja lah jalan terakhir. Supaya masing masing tak sakit hati.
Sehinggakan, nak cerraikan saya pun, dia tak nak datang jumpa saya dan anak. Tak nak datang jumpa mak ayah saya. Mak ayah saya cukup kecewa.
Apa salahnya ambil anak orang elok, pulang pun elok elok lah. Kalau boleh nak lafaz talak pun melalui video call. Tak apa, saya usahakan untuk tunaikan hasrat dia. Sebab saya nak semua ni selesai.
Doakan semua urusan saya dan anak dimudahkan Allah. Saya tak nak anak saya membesar dalam keadaan tertekan. Saya tak nak anak saya nampak saya giila. Cukup dah semua ni. Saya dan anak dah move on.
Doakan saya! Hana
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: Hana (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia