“Dia Sampai Bertekak Dekat Kakak Aku” Sebab kakak belikan KFC dekat anak dia

Foto sekadar hiasan 

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Mengenal Dajjal lebih dari Allah, itu saja yang sesuai aku gelarkan.

“Pengikut dajjal memang macam ni”

“Ini kalau dajjal datang bawa air, dia ni lah yang pertama sekali sedut air tu.”

“Lemah! Ni kalau dajjal petik jari je dah sembah jilat kaki dajjal.”

Itulah lebih kurang diratib pagi petang siang malam oleh abang aku. Dajjal, yahvdi, kafir, itulah dia ulang ulang dari 10 tahun yang lepas.

KFC, McD semuanya yahvdi.

Sampaikan dia bertekak dengan kakak aku hanya semata kakak belikan ayam KFC untuk anaknya.

Dibdohkan kakak siap sumpah seranah konon kakak nilah tak lama lagi jadi pengikut dajjal, hanya kerana KFC.

10 tahun yang lepas, abang ada kerjaya dalam kerajaan. Tapi dek kerana mengutip ilmu tanpa guru, dia tinggalkan semua ni.

Kononnya duit kerajaan haram kerana cukai, dia tak nak makan duit haram. Kononnya nak ikut cara nabi kita, bercucuk tanam dan bertani. Bagus, memang bagus.

Tapi abang pemalas. Yang MAHA PEMALAS.

Dia bercucuk tanam tapi semuanya atas penjagaan mak. Mak lah halau beruk kera dekat kebun, pagi ke petang segalanya mak. Dia buat apa?

Acah bangun awal pagi kononnya busy sangat dengan hal dekat kebun tapi jam 10 dah masuk bilik bantai tidur sampai ke petang.

Hubungan kami adik beradik berantakkan sebab dia. Kami balik kampung hanya kerana mak. Kalau takada sang bidadari ni, kami takkan pijak lagi ke kampung.

Setiap kali kami balik, setiap kali tu kami bergaduh dengan abang. Mulutnya lancang. Kami dibdoh bdohkan. Serba serbi gaya hidup kami tak kena pada dia. Katanya kami leka dengan dunia.

Tapi dia?

Jam tengah malam buta sampai kepagi layan anime. Waktu subuh kami semua berselubung telekung, mencium sejadah, dia? Dia tengah sedap membuta dan “berselimut kulit babi”.

Pukul berapa dia bangun?

Lepas zuhur baru dia bangun. Tapi bangun pun sekadar makan atau masuk tandas untuk buang hajat. Lepastu dia sambung lagi tidur sampai ke asar.

Kami ni tak habis habis dia persenda kononnya orang orang yang bakal tumbang bila dajjal datang. Tapi dia menjadi Islam pun belum tentu.

Rukun islam ada 5.

(Senarai rukun islam)

Tapi 1 rukun Islam pun dia tak tunaikan. Solat hauk, puasa dah bertahun dia tinggal.

Tengahari orang puasa tapi dia masuk dapur goreng telur, cedok nasi dan masuk bilik makan. Macamana dia boleh confident yang dia takkan tumbang dengan dajjal?

Adab dengan mak tak ada.

Ayah yang sakit pun dia tak berjumpa. Alasannya sebab ayah masih sokong politik. Orang orang sokong politik katanya takkan bau syurga.

Takkan dapat elak dari dajjal.

Dalam group whatsapp family, tak habis habis spam chat pasal artikel konspirasi itu ini. Itu belum lagi dekat Facebook. Terpaling alim. Semua bagi dia bersifat yahvdi dan kafir.

Apa saja tentangan orang, semua dia label orang tu pengikut dajjal. Bergaduh dengan saudara mara, adik beradik usah lah nak kata. Kadang kala mak rasa malu dengan sikap abang.

Dalam handphone, segala jenis gambar kuato pasal hukum akhirat dia ada. Orang ni masuk neraka, orang tu masuk neraka, seolah macam dia sajalah yang masuk ke syurga.

Solat kemana mana.

Adab sesama manusia pun entah kemana.

Tu belum cerita lagi bab pengotornya pula bagaimana.

Hal dunia dah melebih lebih. Hal akhirat tak dicari tapi ada hati nak letak tag neraka dan syurga pada golongan manusia.

Itu belum lagi dia ratib pasal golongan wanita yang dikatakan akan lebih banyak jadi pengikut dajjal. Kalau dulu kerap dia menganjing mak.

“Mak ni tak habis habis duit, tak habis habis barang kemas. Esok esok dajjal datang dia hulur je semua ni, terjelir jelir mak ikut.” Dengan kasar dan keras.

Kononnya dulu dia mampu hidup bersederhana. Duit ni apalah sangat.

Mungkin dia fikir makan hasil bercucuk tanam saja dah cukup tapi kerana sikap MAHA PEMALAS yang dia ada, takkanlah nak telan cili semata mata?

Beras tak perlu?

Gula tak perlu?

Ikan tak perlu?

Tapi sekarang dunia ni berputar, apa yang dia kata pada mak semuanya kembali pada dirinya sendiri.

Sekarang dia yang mengemis ngemis duit bantuan dari kerajaan. Waima pengeluaran KWSP pun dia yang lebih pantas.

10 tahun yang lalu, duit kerajaan semuanya haram. Bawa ke neraka. Tapi dia mungkin lupa tabungan KWSP dia tu dari hasil gaji kerja kerajaan dulu juga.

Pernah mak bergaduh dengan abang kerana kebiadapan mulutnya menyatakan mak kaum pengikut dajjal dan mak mempersoalkan pula tentang amal ibadat abang yang tika itu tak langsung bersolat dan tak juga berpuasa.

Bahkan filem ‘dewasa’ juga menjadi tatapannya. Tapi abang mengamuk!

“Hal amal ibadat aku jangan disoal! Jaga hal amal ibadat kau sendiri.” Jerkahnya pada mak.

Kelakar bukan? Dia sibuk sibuk dengan akhirat orang lain tapi akhirat dia kami dilarang untuk ikut masuk campur.

Katanya lagi, alasan dia tidak pernah solat adalah kerana rumah kami yang tak ketahuan dibina dengan hasil apa.

Maksudnya mungkin dibina oleh hasil haram memandangkan rumah ini dibina menggunakan modal dari bapa saudara kami.

Bapa saudara adalah orang kuat politik yang agak berpengaruh. Seolah nak menyatakan mungkin saja bapa saudara menggunakan duit haram untuk membina kediaman kami. Walhal rumah ini usianya lebih dari 100 tahun.

Rumah kami dibahagian atas sudah wujud dari zaman perang. Hanya rumah bawah sahaja yang di sponsor oleh bapa saudara. Jadi kenapa dia tak solat sahaja dirumah atas? Surau dan masjid juga tak pernah dipijak.

Alasan demi alasan hinggakan lebih 10 tahun tak pernah bersujud pada Allah. Sudahlah silaturahim sesama manusia tidak ada. Dia sibuk mengkaji bagaimana sifat dajjal dan pengikutnya sampai dia lupa agama.

Seolah meratib nama dajjal itu lebih banyak dari zikiran Asmaul Husna.

Dia mengenal dajjal lebih dari Tuhannya. Lebih dari syahadah yang dilafazkannya.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: ekisah.com