“Dugaan Hidup Selepas Menjanda” Sebaik tahu status aku, suami2 orang mula pasang umpan sampai tengah malam cari aku
Foto sekadar hiasan.
Assalamualaikum. Saya bergelar Miss J sejak hampir 3 tahun yang lepas dan saya terpanggil untuk kongsikan kisah hidup berkahwin, bercerrai dan hidup bergelar Miss J, satu gelaran yang taboo, berat dan penuh dengan persepsi buruk orang lain.
Pertama sekali, saya rasa usah ditanya kepada semua pasangan yang berpisah, punca dan sebab mereka berpisah. Tak ada orang yang nak kahwin untuk bercerrai berai. Semua orang impikan perkahwinan yang dibina kekal sampai ke syurga.
Tetapi, Allah janjikan hidup ini penuh dengan ujian dan setiap orang berlainan ujiannya. Ada yang tanya saya, orang baik macam ni pun kena cerrai ke? Tak tau lah definisi baik dia tu macam mana tapi Allah tak cakap pun, orang yang kurang baik sahaja kena cerrai. Kan?
Sepanjang perkahwinan, kami tak pernah bergaduh besar, bekas suami seorang yang baik dan jaga solat. Subuh, maghrib dan isyak berjemaah di surau taman rumah kami.
Kadang kadang kalau tak sempat ke surau, kami berjemaah di rumah bersama sama. Tidak pernah meninggikan suara, pukul apatah lagi.
Alhamdulillah memang baik orangnya. Cuma mungkin hatinya tidak ada untuk perkahwinan ini. Masih belum betul betul bersedia untuk berkomitmen.
Satu hari, bekas suami keluar dari rumah dengan membawa beg pakaiannya dan tidak lagi pulang ke rumah kami.
2 minggu pertama, saya seperti orang giila menangis tanpa henti di rumah. Siang ke pejabat, sambil membancuh kopi boleh mengalir air mata secara tiba tiba. Dalam mesyuarat, fikiran boleh melayang entah ke mana, tak semena mena air mata mengalir.
Tetapi Alhamdulillah, masih dapat kawal daripada tertangkap oleh rakan rakan sekerja.
Setiap hari balik rumah seawal mungkin, masak, kemas rumah, bersiap tunggu suami, kalau kalau dia berubah hati nak balik ke rumah kami. Sampai dah tertidur, masih belum ada kelibat suami.
Makanan yang dah masak, simpan bawa bekal ke pejabat esoknya. Rakan rakan sekerja selalu puji, rajinnya masak bekal hari hari. Suami pun bawa bekal? Hanya senyum yang mampu saya balas.
Kata maaf dan pujukan terus saya kirimkan ke suami. Tiada balasan. Panggilan tak berjawab. Sampai akhirnya, sebelum saya jadi giila seorang diri di rumah, saya minta izin untuk tinggal dengan saudara.
Saya tidak mahu jadi isteri yang nusyuz, keluar rumah tanpa izin suami. Dan dia membalas kiriman message saya untuk yang kesekian kalinya. Dia izinkan saya tinggal di rumah saudara.
Selepas itu, tiada lagi berita daripada bekas suami. Tiada nafkah, tiada berita, sampai sudah melepasi tempoh lafaz ta’liq, saya ke mahkamah syariah untuk uruskan permohonan cerrai, dan Alhamdulillah urusan percerraian berjalan lancar.
Tiada guna lagi untuk saya tunggu, digantung tanpa tali, terikat dalam ikatan suami isteri, dan menanggung d0sa tanpa sedar.
Redha Allah yang paling utama, apabila rumahtangga yang asalnya dibina untuk meraih redha Allah, tidak lagi mampu memberi pahala, ada baiknya ditamatkan agar tidak terus menanggung dosa.
Di pagi tarikh yang ditetapkan mahkamah untuk lafaz cerrai, itu adalah kali pertama saya melihat bekas suami sejak hampir 6 bulan dia keluar dari rumah meninggalkan saya.
Bekas suami menangis saat melafazkan talak, tetapi setitis pun air mata tidak lagi mampu lagi saya titiskan di saat itu. Mesti hakim dan orang lain di mahkamah syariah fikir saya yang jahat kan? Haha. Abaikan sahaja tanggapan orang.
Selepas itu, bermulalah kehidupan saya sebagai Miss J. Saya bekerja seperti biasa, di pejabat hanya dua tiga orang sahaja yang tahu akan status saya. Sengaja saya minta dirahsiakan.
Kerja saya sehari hari memerlukan perbincangan dan interaksi yang banyak dengan orang lelaki. Saya tidak mahu urusan kerja terganggu dek ada mulut mulut jahat yang akan menggunakan status saya untuk berkata buruk tentang saya.
Alhamdulillah saya tenang dengan keputusan merahsiakan status itu dan urusan kerja berjalan lancar. Sehingga ke hari ini, masih ramai yang ingat saya masih isteri orang.
Tetapi mungkin kelihatan agak ketara perbezaan antara wanita single atau tidak, status saya sering dipersoalkan oleh kaum lelaki. Saya rasa saya dah cuba sedaya upaya menjaga pergaulan dan tutur kata tetapi mungkin masih ketara perbezaannya.
Alhamdulillah rezeki saya mempunyai sahabat sahabat yang baik, mereka tetap menyimpan rahsia saya dan memberitahu mereka yang bertanya, bahawa saya sudah berkahwin.
Secara teorinya, mereka tidak berbohong, sebab saya memang sudah berkahwin. Cuma sekarang tidak lagi berstatus seorang isteri. Moga Allah balas jasa baik mereka menjaga rahsia saya. Amin..
Tetapi berita status saya tersebar jua dalam kalangan sahabat di luar pejabat. Dan saya mula mendapat kiriman WhatsApp yang berbaur tidak manis daripada kenalan lama yang berstatus suami orang.
Di waktu isteri tiada di rumah, di kala tengah tengah malam sewaktu isteri sudah tidur, kiriman kiriman WhatsApp datang bertalu talu.
Awalnya, saya membalas kirimannya di waktu siang, sekadar menjawab pertanyaan khabar kenalan lama. Tetapi apabila dia mula menghantar kiriman WhatsApp di tengah malam, ini sudah lain macam! Sampaikan gambar selfie pun dimintanya di tengah malam, ini adalah sangat sesuatu!
Semua kirimannya di WhatsApp, Facebook Messenger saya biarkan sepi, dan akhirnya dia berputus asa. Alhamdulillah..
Kemudian ada lagi kenalan kenalan lain berstatus suami orang yang cuba berhubung di Facebook Messenger. Ada yang saya jawab ala kadar sekadar berbudi bahasa, terpulang kepada jenis soalan. Ada yang memang tidak dibalas langsung, ada yang terus saya block.
Kalau benar mahu bertanya khabar sebagai rakan, bagi saya, tidak perlu menghantar private messages. Tanya sahaja di ruangan komen di gambar gambar atau wall Facebook saya. Kenapa perlu bertanya secara private? Tidak perlu takut kalau sekadar kawan. Kan?
Ada kenalan kenalan yang secara bergurau cakap nak mengorat. Saya nekad, saya cakap, “Kalau nak putus kawan, try lah!”. Haaa, boleh pun berkawan seperti biasa.
Yang sudah beristeri, jagalah amanah Allah pada kalian dengan sebaik baiknya. Kalau rasa gaji nak tampung satu isteri pun sudah nyawa nyawa ikan, jaga lah mata, jaga lah hati daripada mencuba untuk mengorat perempuan lain. Nafkah bukan benda boleh buat main main.
Kalau pun mampu dari segi kewangan, mampu kah kalian untuk berlaku adil dalam perasaan, masa, kasih sayang dan sebagainya?
Kalau isteri sendiri yang izinkan untuk berkahwin dua, tahukah kalian bahawa luka itu hanya mampu kering, tetapi parutnya akan ada selama lamanya. Mana boleh letak bio oil dekat parut di dalam hati!
Untuk lelaki single yang ingin berkenalan, gunakanlah medium yang betul. Beritahu niat di hati secara jujur. Jangan permainkan hati orang kalau masih belum betul betul bersedia. Minta izin daripada wali perempuan untuk niat kalian memperisterikannya. Bukan untuk main main.
Bukan semua Miss J itu terdesak untuk mempunyai pasangan baru.
Bukan semua Miss J itu pantang tengok lelaki kaya.
Bukan semua Miss J itu tak boleh hidup sendiri tanpa suami.
Bukan semua Miss J itu sanggup jadi isteri kedua semata mata asalkan ada suami. Ada hati wanita lain yang perlu kami jaga. Masakan sanggup kami lukakan hati wanita lain, kalau kami sendiri pernah rasakan sakitnya luka itu?
Wanita, jaga lah diri menjadi wanita solehah, walau apa pun dugaan yang Allah beri. Sentiasa yakin Allah adalah sebaik-baik perancang.
Sentiasalah berlapang dada dengan ketentuan Allah. Selalu berdoa agar Allah pelihara kita daripada fitnah dan Allah pelihara kita dalam iman dan Islam walau di mana saja kita berada.
Selalulah amalkan doa daripada Surah Al-Ghafir ayat ke 44 yang bermaksud,
‘… Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba hambaNya.’
Semoga Allah lapangkan dada dan permudahkan urusan semua Miss J yang terpalit dengan persepsi buruk masyarakat dan terpelihara daripada fitnah. Amin.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: ANONYMOUS (Bukan nama sebenar) via IIUMC via hits.allhmt