“Kenal Pun Kat Tempat Maksiat, Bidadari Yang Kau Harapkan Ke?” Lepas cerai hidup, pernikahan kedua mengajar aku erti kehidupan

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Aku cuma seorang lelaki biasa, yang ingin berkongsi cerita. Kisah diri aku sendiri. Bagaimana sebuah perkahwinan memberi pengajaran.

Aku seorang suami kepada seorang isteri dan 4 orang anak. Ini merupakan perkahwinan kedua aku. 3 orang anak aku hasil perkahwinan pertama, dan seorang anak dengan isteri ini.

Banyak pengajaran dari perkahwinan pertama yang aku pegang supaya rumahtangga kedua aku mampu pertahankan dan jaga sebaik mungkin.

Untuk perkahwinan pertama, aku bercerai hidup setelah 6 tahun berumahtangga. Tidak berniat untuk menuding jari kesalahan dan kesilapan lampau, cuma untuk dijadikan pengajaran kepada suami dan isteri yang mungkin sedang mengalami apa yang pernah aku alami, atau menjadi sedikit input kepada bakal suami isteri.

Salah niat berkahwin

Aku berkahwin pada usia muda 24 tahun dan bekas isteri 19 tahun. Kesilapan aku yang pertama dan utama adalah niat berkahwin itu sendiri.

Aku langsung tak memikirkan tentang tanggungjawab seorang suami, seorang ketua keluarga, seorang ayah. Yang aku fikir, aku hanya nak bernikah untuk hidup bersama orang yang aku cintai, menatapnya siang malam dan memilikinya. Bekas isteri juga masih terlalu muda, hanya menurut kata hati yang berbunga bunga kerana dilamar sang kekasih hati untuk diperisterikan.

Bernikah bukan kerana Allah

Kesilapan aku yang kedua apabila kami sama-sama berkenalan dan bernikah bukan kerana Allah. Aku akui zaman muda aku nakal, kerap ke kelab malam, melepak, racing kereta dan berhabis duit untuk perkara perkara melalaikan. Dan aku berkenalan dengan bekas isteri juga di kelab malam.

Bekas isteri aku juga sama seperti aku, suka berhibur, menghabiskan masa dengan perkara yang sia sia. Dan pada ketika itu, kami sama-sama tidak memikirkan sikap masing masing. Cinta membuatkan kami hanya memikirkan keseronokan. Bak kata mak aku selepas aku bercerai,

β€œNak perempuan baik, lelaki kena jadi baik dulu. Dah kenal pun kat tempat maksiiat, kau harapkan bidadari ke?”

Tidak berfungsi sebagai ketua keluarga dan imam

Salah aku yang ketiga, aku tidak berfungsi sebagai seorang ketua keluarga dan imam. Aku tidak mengajar bekas isteri ku solat, aku tidak menegurnya bila dia tidak berpuasa dan menutup aurat, aku turutkan segala kemahuan dia tanpa memikirkan akibat akibatnya. Aku bodoh kerana mengharapkan seorang perempuan yang masih muda dan mentah dalam mencorakkan kehidupan kami.

Aku memang tak pandai nak mengarah, mengajar mahupun menegur. Aku lebih gemar berdiam diri jika ada yang tidak kena, tapi cukup sehari hatiku dah kembali sejuk dan aku lupakan apa yang terjadi. Mungkin sebab itu, bekas isteri aku tidak terdidik. Aku juga sering lalai akan tanggungjawabku kepada Allah. Aku tidak solat, tidak berpuasa, tidak ke masjid.

Masih mengaharapkan orang tua lepas berkahwin

Salah aku yang keempat, aku masih menempek dengan keluarga dan orang tua aku walaupun selepas aku berkahwin. Selepas aku mendapat anak pertama, anak aku lebih banyak dijaga oleh ibu aku berbanding aku dan isteri.

Kami sama sama bekerja. Aku bekerja kilang (shift) dan bekas isteri aku bekerja cashier jadi anak kami pada masatu dibawah jagaan ibu aku. Dan aku akui jugak, kami telah mengambil kesempatan diatas kebaikan ibu aku.

Ibu aku sangat sayangkan anak sulung aku memandangkan itu cucu sulungnya. Ibu aku juga masih muda pada masa itu (umur akhir 40-an) maka ibu aku sendiri merelakan untuk menjaga cucunya. Aku dan bekas isteri aku serahkan semuanya pada ibu aku.

Sebelum ke tempat kerja, anak sulungku dihantar ke rumah ibu ku (jarak dekat, cuma berjalan kaki) dengan hanya berbekalkan susu. Pakaian, makanan dan keperluan lain ibuku yang sediakan. Apabila kami pulang dari kerja, akan ke rumah ibu aku terlebih dahulu, berehat dan makan sebelum pulang ke rumah untuk tidur. Kami langsung tak berfungsi sebagai ibu dan ayah yang sepatutnya menjaga, mendidik dan membesarkan anak kami.

Kerap tinggalkan anak isteri bila bergaduh

Kesilapan aku yang kelima, aku kerap meninggalkan isteri dan anak aku di rumah apabila kami bergaduh. Aku akan duduk di rumah orang tua aku berhari hari. Aku akan jauhkan diri dari isteri, tiada komunikasi, buat hal sendiri dan aku lebih selesa kerana keluarga aku jarang bertanya tentang hal aku dan isteri.

Aku selalunya akan terperap di bilik untuk tidur sepanjang hari jadi ibu ku jarang tahu kewujudan aku di rumah. Kadang kadang aku habiskan masa bekerja dan melepak. Seperti orang bujang yang tiada komitmen.

Dan bila bergaduh, isteri aku akan mula meninggikan suara, menengking, mencarut, mengamuk dan kerap minta cerai, buat aku makin berat untuk selalu di rumah. Setiap kali bergaduh dan bekas isteri aku mula menengking, aku terus angkat kaki tanpa cuba menenangkan keadaan.

Tidak pandai mengurus keluarga, hanya menurut kata isteri

Kesilapan aku yang keenam, tidak pandai mengurus keluarga dan terlalu menurut kata isteri. Kehidupan aku dan bekas isteri memang payah. Kahwin di usia muda, tiada sumber pendapatan yang stabil, tidak merancang anak (jarak anak pertama dan kedua hanya setahun) membuatkan aku menghadapi masalah kewangan.

Bekas isteri aku pula berhenti kerja selepas melahirkan anak kedua kerana ibu aku enggan lagi menjadi penjaga anak anak aku. Ibu aku ingin fokus kepada ibadah katanya. Maka aku dengan fikiran yang cetek telah mengusulkan untuk membuat pinjaman dengan ahlong, dan keputusan aku ini disetujui oleh bekas isteri aku.

Lebih parah, pinjaman tersebut bertambah setiap bulan kerana kegagalan aku untuk membayar dan aku telah berhutang dengan lebih dari 1 ahlong.

Konsep korek lubang sini tutup lubang sana. Tapi lubang yang dikorek semakin banyak bahkan bekas isteri aku turut memberi kad ATM kepunyaannya untuk aku gunakan meminjam dengan ahlong yang lain.

Dan bila kami dikejar ahlong, bekas isteri aku akan mula mengamuk, mencarut, menengking dan menghina aku kerana tidak mampu membayar hutang.

Ini antara kesilapan aku terdahulu. Setelah bercerai, aku bertemu jodoh dengan seorang gadis yang telah banyak mengajar aku apa itu tanggungjawab.

Bernikah kali kedua, isteri yang banyak mengajarku

Ketika aku bernikah untuk kali kedua, aku tak punya apa apa. Isteriku seorang yang bekerjaya dan matang. Aku berusia 33 tahun dan dia 28 tahun. Dia yang banyak mengajarku apa itu hidup berkeluarga, bukan dengan lisan tapi dengan perbuatan.

Isteri aku seorang yang berdikari, sebelum bernikah, kami sama sama telah mencari sebuah rumah sewa kecil dan murah berdekatan tempat kerja dan tidak terlalu dekat dengan orang tua kami.

3 hari selepas bernikah, kami telah berpindah masuk ke rumah sewa dan bermulalah hidup kami sebagai suami isteri tanpa attachment kepada orang tua. Dari A to Z isteriku uruskan seorang diri. Aku melihat, memerhati dan secara perlahan lahan aku terpengaruh dengan cara isteriku.

Setiap pagi, isteri aku akan siapkan sarapan pagi dan kami akan makan bersama sebelum ke tempat kerja. Isteri aku akan merajuk kalau aku terlupa untuk menjamah makann yang disediakan.

Sehingga, kadang kala bila aku tengok isteri aku kelihatan penat, aku sendiri akan menyediakan makanan untuk kami bersarapan dan aku rasa ralat jika tak dapat bersarapan bersama di rumah.

Secara jujurnya, aku dulu tak pernah bersarapan di rumah air tangan bekas isteri aku. Selepas dia tidak lagi bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, dia bangun pagi selepas aku ke tempat kerja. Dan aku sendiri tak pernah menyediakan makanan sebelum aku keluar bekerja. Aku hanya bangun pagi, menyiapkan diri aku dan terus keluar.

Isteri aku juga sangat menjaga keperluan dan kebajikan aku dan anak kami. Walaupun bekerja, isteri aku berusaha untuk memberi susu badan sepenuhnya kepada anak. Selepas anak kami boleh makan, isteri aku sendiri memasak untuk setiap makanan anak aku.

Tidak pernah sekalipun anak aku ke taska tanpa bekalan makanan dari air tangan isteri aku. Dan aku sendiri, secara perlahan lahan telah terikut ikut perangai dan sikap isteri aku yang perihatin pada kebajikan anak.

Aku selalu membantu isteri aku mencuci kelengkapan pam susu, botol susu, bekas makanan. Setiap pagi telah menjadi tugas aku untuk mengemas beg pakaian anak aku dan beg kerja isteri aku dan meletakkan semua keperluan itu di dalam kereta untuk memudahkan isteri aku.

Dan isteri aku juga lebih gemar memasak sendiri untuk makan malam kami walaupun dia kepenatan seharian bekerja di pejabat. Dari makanan yang ringkas kepada makanan makanan istimewa isteri aku akan cuba masak sendiri. Google resipi sana sini, gigih sungguh.

Boleh aku katakan, rutin seharian isteriku sangat padat bermula dari bangun pagi sehingga waktu malam. Disebabkan aku lihat depan mata kepenatan isteri aku, secara perlahan lahan aku jadi turut sama membantu isteri aku.

Aku takkan benarkan isteri aku buat apa apa kerja lagi selepas dia menghidangkan makan malam. Aku yang akan mengemas dapur, tidurkan anak kami, melipat kain baju.

Dengan rutin harian begini, aku juga sudah tidak lagi keluar melepak. Aku rasakan kehidupan sebagai seorang bapa rupanya sangat padat dan memenatkan. Semasa bersama bekas isteri, kami jarang makan bersama di rumah.

Bekas isteri aku jarang memasak. Keperluan makan minum kami hanya sekadarnya sahaja. Aku lebih gemar membeli makanan ringan seperti burger untuk kami mengisi perut. Sekali sekala bawak bekas isteri dan anak makan di kedai.

Tidak pernah bekas isteri aku masak sesuatu yang istimewa untuk hidangan kami. Lauk kami selalunya ikan goreng, telur goreng bersama kicap. Kebanyakanannya kami makan di rumah ibuku, atau aku makan dan lepak bersama kawan di luar dan aku tapaukn makanan untuk dia dan anak.

Satu tabiat kecil isteriku juga aku percaya menjadi pengikat kami. Isteriku akan menghulurkan tangan untuk bersalaman sebelum keluar dari rumah sama ada hendak ke tempat kerja atau ke mana-mana sahaja yang memakan masa.

Sehingga aku juga sudah jadi ralat jika tidak menghulurkan salam kepada isteriku apabila hendak keluar dari rumah. Dan aku extra kan, aku akan cium tangan dan dahi isteriku juga.

Jujur, aku tidak pernah amalkan perbuatan ini bersama bekas isteri. Kami dulu seperti di dunia masing masing. Aku melakukan kerja seharian aku tanpa dia dan dia juga membuat perkara yang sama.

Hanya hal berkaitan anak sahaja akan kami kongsi dan lakukan bersama jika aku berkelapangan, tetapi kebanyakkannya aku serahkan pada dia dan ibu ku untuk menguruskan anak anak kami.

Seperti yang telah aku sebut, isteri aku seorang yang berdikari dan telah mengajar aku juga untuk berdikari dan mengurus keluarga sendiri. Isteri aku tidak akan sewenang wenangnya menyerahkan anak pada jagaan orang tua. Dia juga kerap berpesan kepada aku untuk kami bersusah menjaga anak kami dan bukannya menyusahkan lagi ibu bapa yang telah tua untuk menjaga anak kami.

Tidak akan sesekali isteriku meninggalkan anak kami pada orang tua semata mata untuk dia keluar atau menyelesaikan urusannya. Anak kami akan tetap dia bawa, dukung dan kelek ke mana mana dia pergi (kecuali ke tempat kerja).

Dan semasa anak kami demam dan tidak boleh dihantar ke taska, isteri aku meminta aku bergilir mengambil cuti dan menjaga anak, bukan dengan menyerahkan jagaan kepada orang tua.

Selepas hampir 3 tahun berumahtanga, aku sekarang mampu menjaga dan menguruskan anak kami seorang diri jika isteri aku bekerja luar kawasan atau tidak sihat. Semua ini aku belajar dari sikap isteri aku sendiri.

Hutang hutang ahlong aku juga telah banyak diselesaikan sejak aku bernikah kali kedua. Isteri aku menjaga kewangan aku, membantu aku membayar hutang, dan aku serahkan kesemua kad ATM aku pada isteri aku, supaya aku tidak lagi terjebak dengan hutang ahlong.

Isteri aku seorang yang sangat amanah. Setiap bulan dia akan mengeluarkan duit gaji aku dan mencatat setiap perbelanjaan sama ada untuk membayar hutang ahlong, sewa rumah, bil, keperluan makanan dan rumah.

Dia akan meminta izin dari aku setiap kali ingin menggunakan duit tersebut. Sedangkan aku tahu, walaupun dengan duit aku sepenuhnya di tangan isteri aku, belum tentu mencukupi untuk menampung keseluruhan perbelanjaan kami dan aku yakin, isteri aku akan menggunakan duit gaji dia sendiri untuk keluarga kami.

Tambahan pula, 3 orang anak aku dengan bekas isteri menetap bersama kami. Walaupun sudah berpuluh kali aku pesan untuk tidak lagi minta izin dan dia bebas menggunakannya, dia tetap meminta izin tanpa jemu.

Tugas mendidik adalah tugas suami. Tapi perlu diakui this bitter true, bukan semua lelaki dididik untuk menjadi pembimbing dan pendidik. Bukan semua lelaki mampu menjadi tauladan dan teladan. Isteri adalah penyokong terkuat seorang suami dan bagi diri aku, isteri aku lah pembimbing aku yang sebenar.

Dengan 2 kali perkahwinan aku sendiri yang mampu aku lihat perbezaannya, sudah tentu aku turut akui kesalahan utama adalah berpunca dari aku sang suami. Tapi sokongan dan bantuan yang betul dari seorang isteri mampu merubah seorang suami yang jahil.

Reaksi Warganet

Nadzrah Saadan –

Kesian dekat bekas isteri. Time kahwin dulu tak dapat hak sebagai isteri 😒. Semoga ada sinar bahagia untuk bekas isteri juga. Tahniah tt. Pastinya berkat doa ibu tt juga. Moga dididik anak2 agar bertanggungjawab.

Ummi Afiya –

Hebat awak memilih untuk belajar dari pengalaman. Semoga Allah memberkati jodoh awak berdua, dimurahkan rezeki. Bersyukur, itulah bahagia. Jaga keluarga baik2. Saling menghormati.. Terbaik …!

Yer NIAT, niat itu penting. Niatkan kerana Allah. Semua akan jadi baik. InsyaAllah. Antara Confession terbaik yang saya pernah baca.!

Sulaiman Akhlakan –

Cerita kita lebih kurang ni. Cuma lebih kejam. Aku kahwin 8 tahun. Ex wife aku dulu kahwin cuci kaki je, semua aku sediakan dah.

Tak cukup dengan itu, kebanyakkan keje umah aku buat. Anak2 pun banyak aku uruskan, ajar sikit2.

Dia buat apa? sibuk membawang dalam telefon. Tapi peliknya bila pergi rumah orang macam lipas kudung buat kerja. Orang semua ingat dia rajin.

Dia kena sejenis knser, aku jaga dia sampai pulih. Walau terpaksa berhenti kerja arkitek dengan gaji yang lumayan.

Bila aku sakit dan kesempitan hidup, terus angkat kaki minta cerai.

Belum sempat cerai lagi, dah berpelukan dengan jantan lain, yang berduit. Letak kat FB, keluarga dia siap like lagi picture tu.

Manusia boleh jadi lebih kejam dari syaiitan. Maka beruntunglah kamu, dapat isteri yang baik. Semoga berbahagia.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber – Riz (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia