“Lepas Diseret Dan Dibelasah Oleh Abang, Aku Ditinggalkan” Masuk jer kelas semua terkaku tengok aku berdarah

Foto sekadar hiasan.

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau siarkan cerita ni. Kalau tak siarkan pun takpe, hanya ingin meluahkan perasaan yang terbuku di hati sejak sekian lama. Maaf kalau ayat berterabur, aku tak pandai mengarang ayat.

Nama aku Nur berumur 27 tahun dan mempunyai 3 orang adik beradik. Seorang abang, kakak dan aku yang bongsu. Aku sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan yang comel.

Mungkin disebabkan dalam keluarga aku hanya ada seorang je anak lelaki, maka ibu aku memang selalu manjakan dan menangkan dia. Tapi, anak anak perempuan manja dengan ayah. Kalau nak kena cili ke rotan ke aku akan selalu berlari kat ayah dulu.

Ayah aku kerja polis shift dan ibu aku suri rumah. Waktu ayah aku kerja, memang habislah aku kena rotan sebat.

Dulu, aku dan abang aku memang rapat. Main basikal, main digimon dengan kawan dia, main game, mengaji semua sama sama.

Oh ya, beza umur aku dan dia 5 tahun. Tapi semua tu berubah lepas dia masuk SBP. Perangai dia makin lama makin berubah menjadi seorang yang baran dan selalu naik tangan kat aku.

Aku dan kakak aku memang selalu kena pukul tapi aku rasa aku lagi banyak kut kena. Aku waktu tu mungkin berumur dalam 8-9 tahun kut (tak ingat).

Biasalah budak kecik lagi mana tahu apa apa dan nakal budak budak kan. Aku pun tak tahu nak cerita kejadian yang mana satu sebab banyak sangat.

Ada satu hari tu, aku tak ingat punca apa yang dia triggered marah kat aku, habis dibantainya aku atas kerusi sambil dilihat sahaja oleh ibu aku. Ayah aku tengah kerja. Aku kecik lagi waktu tu, tak daya nak melawan. Aku hanya mampu menangis.

Lepas tu aku berkurung dalam bilik menangis lagi sampai tertidur. Bangun tidur je mata bengkak. Aku selalu tulis dalam surat biar Tuhan amik nyawa aku, aku benci ibu, benci, benci, benci.

Tapi mungkin sebab aku kanak kanak, semua rasa tu sekejap je. Aku pernah nak larikan diri dari rumah tapi bila fikir aku nak lari mana? Aku membatalkan niat aku tu.

Setiap kali nak pergi ambil dia kat asrama, aku malas nak ikut. Tapi aku takut pulak nak duduk rumah sorang sorang.

Pernah suatu ketika, masa aku nampak dia tidur, aku rasa nak tiikam dan bnuh dia. Parah tak luka aku agaknya? Aku sangat marah kenapa ibu selalu manjakan dia.

Yelah mungkin sebab dia pandai. Yang kami ni tak pandai. Tahu main je. Aku selalu rasa diri tak disayangi. Bila aku mengadu kat ayah, aku harapkan ayah pkul dia macam aku kena, tapi ayah cuma marah je.

Perkara ni berlanjutan sampai aku dewasa. Time ni aku form 4 ke form 5 entah. Aku nak pergi tuisyen tapi aku terbangun lambat. Lepastu ibu aku suruh jugak aku pergi tuisyen dan suruh dia hantar.

Aku membebel bebel la dalam kereta. Pastu dia berhentikan kereta, seret dan belasah aku tepi jalan dan hampir nak langgar aku.

Lepas dah belasah aku, dia pun blah. Aku pun jalan jela terencot encot seluar koyak lutut drah nak pergi bus stand. Walaupun bus stand jauh lagi 15 minit ke depan. Tak lama tu, ibu aku sampai bawak kereta tapi aku buat bodoh.

Pastu die jerit suruh aku masuk kereta dan aku pun masuk. Dalam kereta, ibu aku pulak marah aku naik bernanah telinga.

Aku hanya mengesat air mata yang mengalir dan pandang luar tingkap. Ibu aku hantar dekat bustop je. Aku tunggu bas dan naik la bas pergi tuisyen. Dalam hati tahan nangis.

Sesampainya aku dekat tempat tuisyen, aku masuk dan bagitahu maaf lambat cikgu. Cikgu tanya aku kenapa berdrah tu?

Aku tak dapat tahan air mata, terus aku menangis dalam kelas tu. Semua senyap. Pastu aku bangun cakap nak pergi tandas dan menangis lagi dalam tandas.

Pastu dah puas aku basuh muka dan masuk kelas. Lepas habis kelas, cikgu panggil aku masuk bilik. Tanya aku kenapa. Aku jawab aku jatuh on the way ke kelas. Cikgu pun cakap hati hati pastu bagi plaster letak dekat luka.

Boleh semua bayangkan betapa terluka hati aku sebagai seorang anak? Alhamdulillah la aku tak jadi seorang yang liar yang suka memberontak. Aku hanya menjadi seorang yang baran, suka melawan cakap.

Mungkin ibu ayah aku tak tahu semua ni lah punca aku jadi macam tu. Semua masalah tu aku simpan dalam hati hingga menjadi satu perasaan iaitu BENCI.

Allah masih sayang aku. Waktu aku F5 aku mula berubah. Aku berkawan dengan kawan kawan yang positif. Kawan dengan budak aliran agama, aku mula sayang diri aku balik, sayang keluarga. Dan result SPM aku takde lah okay sangat, hanya dapat 2A, 4B, 2C.

Melalui result itu, alhamdulillah aku ditawarkan ke politeknik. Ibu dah mula okay dengan aku. Oh ya, surat surat yang aku tulis luahkan perasaan tu aku simpan dalam kotak kasut. Aku tak buang dan taktahu la ibu baca ke tidak bila aku dah pergi.

Sewaktu aku belajar, aku berpegang pada satu nasihat nenek aku supaya aku belajar tingi tinggi dan menjadi orang berguna. Alhamdulillah pointer hampir nak dekan.

Kalau aku jumpa abang aku, aku bahasakan diri aku kau je. Jarang sekali bercakap. Sampaikan akak aku tanya kenapa aku camtu aku pun bagitahu, aku tak boleh lupa apa yang dia buat lagi. Kalau aku gaduh dengan dia, aku akan cakap kau nak tumbuk aku macamana kau buat dulu?

Lepastu ada satu kejadian dimana aku kena penyakit ******** dan mungkin buat semua sedar kut. Kalau aku cerita ni mesti orang dapat cam aku.

Fast forward, aku sekarang dah ada kerjaya , ada rumah sendiri. Dalam 2 tahun lepas, aku jumpa pakar pskologi dan ceritakan masalah yang aku tak dapat lupakan.

Aku cakap, “saya maafkan tapi untuk melupakan tu susah”. Dan pakar kata awak salah. Dia kata “to forgive you need to forget”. Maafkanlah lah, buang semua perkara yang pernah terjadi. Start a new life.

After a few sessions, aku bertambah baik dan aku telah memaafkan dan melupakan.

Aku selalu menangis dalam sujud supaya aku dapat lupakan, untuk aku jadi seorang penyabar. Aku rasa sebab perkara lepas, aku jadi seorang pelupa, ‘short term memory loss’. Aku nak lupakan trauma, mungkin?

Sebelum kahwin, aku bagitahu kat bakal suami aku tak suka orang yang kaki pukul. Aku cerita apa yang pernah terjadi kat aku. Aku cakap kalau aku kena pukul tolong lindungi aku.

Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang suami yang penyayang, sentiasa bersabar dengan sikap aku.

Hanya ada satu perkara yang aku tengah cuba hilangkan iaitu baran. Kalau aku marah, aku akan masuk bilik dan baring. Jauhkan diri dari anak, risau aku buat benda diluar jangkaan. Sebab benda kecik pun boleh buat aku marah.

Jadi kesimpulannya, nak ajar anak itu boleh tapi ikut seperti yang nabi ajar. Bukannya main sebat, sepak terajang, penumbuk penampar. Kesannya mendalam tau untuk budak budak. Kamu ingat kalau sebat boleh bagi pengajaran kat anak? Bagi aku tak.

Banyak lagi cara untuk ajar anak. Nanti ada yang kata, sebab tak kena sebat lah budak budak jadi lembik. Sikit sikit report. Mungkin ada yang boleh terima. Tapi bagi yang tak boleh terima macam aku, kesan sampai ke besar. Luka di luar kita boleh nampak, luka dalam hati?

Ibu bapa didiklah anak anak kalian supaya menyayangi satu sama lain. Ajar mereka supaya menghormati.

Yang lelaki didiklah mereka supaya menghormati wanita jangan mudah naik tangan. Sayangilah anak anak anda. Jika nampak anak tu lain, tanya kalau ada masalah. Banyak lagi nak kena belajar bab ‘parenting’ ni.

Selingan, sekarang aku lah jadi harapan keluarga. Mujur aku tak terus hanyut dalam perasaan dendam, aku dah boleh berborak dengan abang aku.

Aku harap semua dapat doakan aku supaya aku sentiasa menjadi anak yang dapat membanggakan orang tua, seorang yang penyabar, ibu yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki untuk membantu keluarga dan orang susah.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber : Nur (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia