“Malu Aku Bila Mak Mertua Tag Aku Kat Fb, Aku Minta Cerai” Suami hilang seminggu, bila pulang suami berubah
Foto sekadar hiasan.
Alhamdulillah. Kerana PKP, masjid yang hampir runtuh kembali teguh.
Alhamdulillah. Kerana PKP, cinta yang kelam kembali bersemi.
Disebalik kesusahan yang orang lain hadapi, aku menikmati PKP. Ya PKP yang aku maksudkan ini adalah PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN.
Aku D. 32y/o. Bekerja di sektor swasta dengan gaji yang lumayan. Sebatang kara. Hanya ada suami menemani. Suami aku, N, 35y/o juga bekerja di sektor swasta dengan gaji hampir belasan ribu.
Bulan 4 nanti, genaplah 10 tahun perkahwinan kami. Kami ada segalanya melainkan anak. Masih mendapatkan rawatan tapi belum berhasil.
Permulaan perkahwinan, kami sangat bahagia. N antara suami yang sentiasa diidamkan. Rajin, soft spoken and all that. Berbeza dengan aku. Aku agak kasar dan kurang dari segi penampilan. Aku hanya rapat dengan orang yang aku kenali.
Aku seorang yang agak kasar dan pendiam kerana selalu dipukul. Ibu ayahku kemalangan dan aku tinggal bersama pakcikku.
Hidup miskin memang sentiasa dipandang hina. Bagaikan melukut di tepi gantang, begitulah aku. Aku hanya akan makan sisa makanan mereka setelah makan malam.
Di sekolah, aku mendapat makanan percuma RMT. Takkan ada sebutir nasi pun yang tinggal di dalam bekas makanku. Aku perlu makan dengan kenyang kerana aku hanya akan makan lagi pada waktu malam. Itu pun jika mereka tinggalkan aku saki baki makanan.
Tapi aku bersyukur, pakcikku masih mahu menyekolahkan aku. Hingga aku berjaya hari ini. Dan ya, walaupun diperlakukan sebegitu, aku masih menghulurkan pakcikku wang belanja RM1000 sebulan sehingga ke hari ini.
N tak pernah bertanya ke mana duit gajiku dihabiskan dan kepada siapa duit gaji ku beri. N memang seorang yang bertanggungjawab dalam hal belanja dapur dan utiliti lain.
Setelah berkahwin, N sanggup berhabis menghantar aku ke kelas kecantikan dan pusat pelangsingan walaupun aku sendiri mampu.
Dari 70kg hingga 50kg. Dari kulit penuh bekas jerawat hingga putih licin dan bersih. N hanya nakkan yang terbaik untukku. N mahukan aku mempunyai keyakinan diri dan tidak malu untuk berdamping dengan dia yang sememangnya agak segak dalam penampilan.
Setelah memasuki usia perkahwinan yang ke-8, kami selalu bergaduh kerana anak. Ibu dan bapa mertuaku sangat lancang mengatakan aku mandul.
Suamiku sangat tenang memujukku hampir setiap hari ketika aku menangis. Tapi aku, dengan sikap kasarku, aku tengking N.
Aku suruh dia tinggalkan aku untuk penuhi perintah mak ayah mertuaku. Aku dah tak kuat. Aku boleh korbankan perkara lain tapi bukan bermadu. N tetap sabar melayani kerenahku.
Hingga suatu hari, ibu mertuaku update status di facebook dengan meng-tag nama facebook ku dengan ayat, “Susah kalau dapat menantu mandul tak makan dek ajar macam kau ni”.
Aku bergaduh besar dengan suamiku dan meminta cerrai malam itu juga kerana tak tertanggung malu yang ibu mertua berikan. N keluar dari rumah dan hanya pulang seminggu kemudian. Dan kepulangan dia dengan membawa N yang baru.
N yang pendiam dan sangat kaku. N tidak lagi memelukku tidur malam, N tidak lagi menjamah masakanku. N hanya akan pulang setelah aku tidur. Kadangkala, tidak balik langsung. N masih memberikan aku nafkah wang bulanan dan belanja dapur.
Aku yang sememangnya sunyi tidak berteman, semakin sunyi hingga aku bercakap dengan perabot rumahku. Kami dekat, tetapi sangat jauh.
Hampir 1 tahun keadaan kami begini. Hanya menjalani rutin harian. Hanya menjadi teman tidur. Teman menonton tv dan teman serumah. N yang ceria, hanya tinggal kenangan.
Pada suatu hari, ketika N sedang mandi, aku terlihat Whatsapp masuk di screen phone dia. Mesej dari ibu mertuaku. Pedih menusuk sekali lagi terbaca ayat ayat disitu.
“Bila nak cerraikan D?”
“Kenapa N taknak dengar cakap mama?”
“N berhak hidup lebih bahagia dari ni. Cakap je N nak perempuan macam mana. Mama carikan”
Allah. Allah. Allah.
N keluar dari bilik air dan terpaku melihat aku memegang telefonnya. Aku terduduk di tepi katil. N rampas telefonnya dari tanganku dan terus turun ke bawah.
Aku menggigil. N mendapat tekanan hebat dari kedua ibu bapanya untuk mencerraikan aku. Sempat aku titipkan, Ya Allah, selamatkanlah perkahwinan ini.
17.03.2020. Tarikh PKP dilaksanakan.
Aku dan N sama sama dicutikan. Hubungan yang dulu renggang, mula kembali jernih. Semuanya bermula ketika aku terkena hirisan pisau yang agak dalam ketika memotong ayam. Aku yang memang f0bia dengan drah, hampir pitam melihat lelehan drah yang agak banyak.
Aku memanggil N sebelum rebah ke lantai. Setelah sedar, aku sudah terbaring di atas katil dengan jari yang berbalut. N berada di sampingku, tertidur dengan memegang jemariku erat.
Aku tersenyum. Inilah suamiku. Yang sangat aku rindukan. Aku menyisir rambut N ke belakang dan membelai pipinya. Oh Tuhan. Aku sangat mencintainya. N tersedar dan terus bertanya jika aku inginkan apa apa. Aku hanya inginkan dia disampingku. Setitis air mataku jatuh.
Aku mengatakan aku rindukan dia. Dia terus memelukku dan mengatakan dia mencintaiku sepenuh hati.
Dia minta maaf selama ini mengabaikan aku. Dia hanya tertekan dengan tindakan kedua ibu bapanya yang minta aku dicerraikan. N sangat menyanyangi aku dan tak mampu mencintai wanita lain.
Ya Allah, sesungguhnya aku juga sangat mencintai N. Malam itu, kami solat berjemaah bersama. Aku mengucup tangannya dan memohon maaf di atas kekhilafanku meminta cerrai sebelum ini. Kami sama sama berpelukan menangis dan menyesali masa lalu.
Semasa PKP, banyak masa kami habiskan di rumah. N berikan aku kejutan makan malam romantik. Sungguh aku rindukan saat saat itu. Kami menghabiskan masa berdua tanpa gangguan sesiapa termasuk kedua mertuaku. Dunia ini ibarat kami yang punya.
Berkejaran dalam rumah, menonton tv, berkebun dan mengemas rumah. Solat berjemaah setiap hari. 2 bulan lebih tanpa gangguan yang sangat menyenangkan. Kami menghabiskan masa berdua ibarat pengantin baru. Bergelak ketawa, usik mengusik.
Dan yang paling menggembirakan, aku disahkan hamil baby PKP dan bakal melahirkan pada 2021. Syukur kepadamu ya Allah di atas kurniaan ini. N menatangku ibarat minyak yang penuh. Aku sangat dimanjakan sepanjang kehamilanku.
Oh yaa, ibu dan bapa mertuaku meninggal dunia masing masing jarak sebulan beberapa minggu setelah berita kehamilanku. Walau apa pun, aku tetap memaafkan mereka. Cuma sayangnya, mereka tak sempat melihat cucu mereka.
Kepada N, terima kasih sudi menerima diri ini. Sudi menenangkan dikala aku termimpi mimpi ketika dipukul dahulu. Sudi menjadi imamku. Dan sudi menjadi kekasihku dunia akhirat. Aku sangat mencintaimu, D.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Sumber : D (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia