“Marahkan Anak, Paip Getah Disumbat Dalam Hidung. Anak Meronta2, Hingga Jatuh Terduduk” Pelik, tiada tangisan
Foto sekadar hiasan.
Assalamualaikum semua. Terima kasih iium confession sudi siarkan confession saya. Saya ingin berkongsi dosa saya pada anak kandung saya. Yang tak dapat ditebus.
Usai solat subuh saya tidur sebentar kerana sakit kepala. Jarang sekali saya tidur selepas subuh kerana selalu saya akan berkecah di dapur pula. Saya set masa nak bangun pukul 6.30 pagi kerana nak siapkan anak sulung ke tadika. Saya pun baring di apit anak anak.
Saya suruh anak sulung mandi untuk ke tadika. Dia mandi ala kadar, rambut pun tak basah. Saya marah suruh dia mandi semula.
Dia masuk kembali bilik air. Sekali lagi. Mandi ala kadar. Saya naik berang. Saya ajak dia mandi. Saya mandikan dia. Sambil cakap baik baik begini cara mandi…
Namun tiba tiba saya sedari dia mandi sambil pakai baju sekolah, lantas saya ambil getah paip dan masukkan air ke dalam lubang hidungnya. Lama… Dia meronta ronta. Tapi saya memaksa.
Hingga dia jatuh terduduk, lemah. Saya terus keluar dari bilik air meninggalkan dia dan tutup pintu rapat. Lalu beristighfar berulang kali. Saya sedar dia langsung tak menangis…
Kebiasaan jika saya tutup pintu rapat meninggalkannya, dia akan menangis ketakutan. Terus saya teringat tubuhnya yang longlai tadi sambil mulut saya beristighfar lagi.
Saya buka mata sambil jantung berdetak laju. Allahuakbar!! Mimpi!! Saya terus angkat anak sulung yang sedang nyenyak tidur. Lalu saya peluk sambil baring semula.
Saya cium cium dahinya. Keluar air mata saya. Allahuakbar. Saya ludah sedikit ke kiri kerana bermimpi buruk.
Tak tertahannya rasa hati ini. Mimpi tadi bagaikan realiti. Mimpi ngeri itu lebih ngeri daripada mimpi hantu mahupun mimpi suami berkahwin lain yang pernah saya hadapi akibat tidur selepas solat subuh juga.
Sememangnya mimpi itu ada kaitan dengan saya di masa lalu. Semasa anak sulung berusia 2 hingga 4 tahun..
Semasa mandikan dia, dia seringkali akan menangis nangis dan cuba mengelak daripada terkena air sambil menjerit pedih! Kerana dia mempunyai ekzema. Dia menggaru garu semasa tidur mahupun selepas bangun daripada tidur hingga melecet lecet kulitnya.
Tangan dan jari jemari saya juga ketika itu teruk luka merekah akibat ekzema juga. Apabila dia bertindak menepis air dan mengelak, tersentuh tangan saya secara kasar, mengakibatkan luka di tangan saya semakin merekah dan bertambah pedih.
Saya tahan pedih demi mandikan anak. Bila anak bertindak begitu saya jadi berang. Jika tak tahan sabar, saya tampar punggungnya atau tangannya. Kadang kala saya lakukan sekuat hati. Maka makin menangislah dia.
Pernah juga beberapa kali saya acukan air dari getah paip ke mukanya beberapa saat bagi dia diam. Hati saya puas. Hah menangis lagi!
Sanggup saya buat begitu demi ikutkan marah saya. Bodohnya saya. Kejamnya saya. Sedangkan anak itu sedang sakit pedih kulitnya. Saya tambah pula kesakitannya lagi.
Itu belum lagi malam malam saya marah dia. Bayangkan dari usianya 6 bulan (dia mula kena ekzema sejak 6 bulan) hingga 4 tahun. Dia sering saya marah kerana tak tidur malam.
Mata pejam tangan menggaru. Kadang kala bila marah saya tampar tampar tangannya, entahlah. Masa tu saya pun pernah pijak pijak tangan sendiri sekuat hati kerana gatal. Garu hingga berdrah. Hingga pernah terlintas nak potong saja tangan saya.
Malam dan semasa mandi ialah masa dia menjadi mngsa dera ibunya sendiri. Selain daripada itu kami ceria, kami bahagia. Sayalah paling dia sayang, selain ayahnya. Dialah insan paling mendapat perhatian dan kasih sayang saya, selain adiknya..
Saya tak tahulah dia ingat ke tidak semua itu. Semua itu adalah antara kenangan pahit saya dan anak berjuang menghadapi ekzema. Tak mahu cerita mengenai ikhtiar. Pelbagai produk, program, doktor, mahupun ubat dalaman atau luaran telah dicuba..
Allah izinkan semua itu tinggal kenangan semenjak usianya menghampiri 5 tahun. Dia sudah tidak menggaru sebelum, selepas dan ketika tidur. Sudah tidak menggaru selepas mandi. Kulitnya kini sudah licin dengan sebab sapuan campuran air dan krim jenama V.
Namun saya terpaksa bergantung pada produk itu. Tapi saya redha sahaja kerana sekurang kurangnya dia sudah tidak menggaru.
Kulitnya juga Allah izin sudah kuat dan tak mudah koyak jika digaru hasil daripada jaga pemakanan dan diet dalaman. Namun, dalamannya belum sembuh.
Jika tidak guna produk itu dalam masa seminggu, kulitnya tetap meradang jika salah makan dan semasa berada di bandar (di rumah kami). Jika balik kampung, kulitnya tetap elok walaupun tak jaga makan.
Apa pun yang saya perasan, Allah tunjukkan jalan bila saya redha dengan penyakit ini. Redha yang bukan saja di mulut. Redha itu datang bila saya rasa siapalah saya. Saya hamba. Saya tak layak persoal apa ketentuan Allah…
Usai mimpi ngeri itu, saya kejut anak pelan pelan. Saya peluk dia sambil minta maaf atas salah silap saya.
“Mama ada buat along, pukul along, marah along, mama minta maaf ye. Mama terlalu ikutkan marah mama. Mama silap ikut bisikan syaiitan”
Dia balas, “tu la along kan dah cakap, marah tu daripada syaiitan”
Saya berazam tak mahu dah sakiti anak anak. Berulang kali sebenarnya saya dah minta maaf pada dia.. Tapi rasanya seperti tak tertebus dosa itu…
Menyesal nya saya rasa. Sesal yang tiada penghujung Suami cadangkan agar kadang kala saya biarkan anak itu tidur dalam pelukan saya.
Saya akan cuba walaupun selalunya suamilah yang akan tidurkan dan peluk anak anak hingga mereka tidur. Kerana saya uruskan anak paling kecil yang masih bayi..
Ia bagaikan batu besar yang menghempap dada. Andai dapat saya ulang masa lalu.. Tapi mustahil..
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: Mama (Bukan nama sebenar) via IIUMC via hits.allhmt.com