“Penak Dengan Keluarga Mertua Yang ‘Maksum’, Aku Nekad Bawa Diri Ke UK” Setelah 14 tahun berlalu, ini yang aku rasa
PART 4
Sambungan Cerita: “Dari Luar Aku Dah Dengan Tangisan Bayi Aku Melalak, Mertua Dah Kecut” Aku selak rambut anak, terus aku meraung
Foto sekadar hiasan
Assalamualaikum semua… Laila Atheerah is back! Insya-Allah ini kalam terakhir untuk cerita “salah aku kah?”.
Masuk balik kepada cerita aku. Aku tengok N makin tak ceria tapi N memang tak pernah tunjuk kesedihan dia depan aku. Kali ni aku betul betul perasan yang N jadi pendiam sikit daripada sebelum. Apa lagi, aku korek la.
Kontrak kerja N bakal tamat dan syarikat dia tak dapat nak sambungkan perkhidmatan N atas sebab tiada budget. N dah kerja 3 tahun lebih, sama umur seperti pernikahan kami.
Aku turut bersedih dan aku pujuk N. Aku minta dia cari kerja lain. Masa ni aku belum tahu yang aku mengandung anak aku yang kedua.
N menghabiskan sisa sisa kerja dia sambil dia mencari kerja lain. Aku sentiasa sokong N. Walaupun waktu tu, keluarga N tak tahu apa apa sebab N tak bagi aku beritahu. Mungkin dia tak mahu mak dia susah hati. Aku turutkan saja.
Aku tak berapa nak risau sebab aku ada income sendiri. Aku boleh bantu andai N belum mendapat pekerjaan dalam waktu terdekat. Hutang kami cuma kereta, rumah dan bil bil rumah. Insya-Allah cukup.
Dalam masa yang sama, aku dan N memang terlalu jarang ke rumah mak N. Kalau tidak, memang setiap minggu. Aku sendiri jarakkan diri aku tapi aku tak pernah halang N untuk bertemu maknya. Tapi N seakan menjauhkan diri jugak daripada keluarga dia.
Ada lah satu hari, anak aku demam. Masa ni N dah tak bekerja tapi masih belum mendapat kerja. Dia buat part-time sikit. Pagi tu aku terdengar lah perbualan N dan mak dia. N ingat aku masih tidur sebab lepas subuh, aku cakap aku nak tidur balik. Aku pening betul masa tu.
“Ok mak, haaa mak, hmmmm..”, yang ni saja aku dengar dari mulut N. Entah apa yang dibualkan.
Aku bangun, aku cakap dekat N aku terlalu pening. N pun ambil panadol dan segelas air untuk aku. Aku pun saja lah tanya, “kenapa tadi?”..
N kata tak ada apa. Tapi N memang nampak sedih. Aku jadi tertanya tanya sebab aku isteri dia. Selama 3 tahun lebih berkahwin, N bukan seorang yang tunjuk jika dia sedih. Ni mesti betul betul sedih sebab nampak pada air muka dia.
Tak lama lepas tu, aku ternampak akak N update status di FB. Mereka sekeluarga hantar mak N naik bas ke Selangor. Mak N ke Selangor sebab anak abang N demam.
Guys, anak kami demam, tak ada pun dia datang. Sedangkan N kata dia beritahu mak dia pagi tu. Aku rasa itu yang buat N sedih. N ni memang sayangkan anak. Aku bertuah betul dapat N.
Sebelum tu pun, N terlibat dengan kemalangan, langsung mak N tak datang jenguk. Tapi abang N accident (lebih kurang waktu yang sama) terus naik bas ke Selangor. Kau raseee?
Aku pun rasa la sedih tu. Mak N punya pilih kasih tu masya-Allah, sangat lah jelas dan padu. Aku kira N makin nampak. Tapi demi Allah, aku tak pernah menghasut.
Walaupun aku lahir dalam keluarga yang berantakan, tapi aku pilih untuk berada di jalan yang benar. Sebab tu aku pilih untuk segerakan pernikahan kami untuk elakkan ziina.
Aku rasa itu kali terakhir aku dengar N bercakap dengan mak dia. Aku tak bertanya lebih sebab aku tak mahu masuk campur. Tapi aku perasan la, ada ja call masuk, N tak angkat. Bukan sekali dua tapi banyak kali.
Ada juga aku tanya, N cuma kata malas nak angkat. Aku ni jenis yang tak check phone orang ye. Jangan tanya kenapa aku tak check.
Kalau anda tertanya tanya, aku tak pergi ke rumah mak N? Ya, memang aku tak pergi. Aku buat keputusan untuk aku stop dulu pergi sebab aku tak mahu aku dibuli.
Aku sakit hati, aku sedih bila tengok anak aku nak pergi dekat mak N, tapi tak dilayan atau acuh tak acuh layannya. Dah la aku saksikan mak aku dan kami adik beradik dibuli oleh mak abah aku. Aku fobia. Aku nak jaga kesihatan mental aku.
Walaupun ditentang mak aku, sebab mak aku kata, menantu kena jaga mertua seperti mak sendiri. Aduh, aku menyesal juga cerita dekat mak aku. Tapi kena cerita jugak lah sebab mak aku asyik tanya tak pergi ke rumah mak N. Aku balas balik dekat mak aku,
“Lela tak mau jadi macam mak. Mak jadi hamba mertua selama 22 tahun tapi apa mak dapat? Sakit sampai ke mati kan?”. Mak aku terdiam weh! Well, aku menang. Tapi macam aku cakap, aku tak pernah halang N nak pergi jumpa mak dia. Dia nak tinggalkan aku pun, aku terima.
Haa ini yang aku kata kemuncak tu. Aku rasa mak N la yang call N banyak kali tu tapi N tak angkat. Aku pun buka la FB aku petang tu.
Masa ni aku rasa dah aku mengandung sebab aku makan je muntah. Sebijik keadaan macam aku mengandung yang pertama dulu. Morning sickness aku terlalu teruk. Tapi aku tak cek lagi.
Aku terjaga suatu pagi tu. Aku MC sebab tak boleh bangun. Aku dengar lah N kata mak dia datang tadi. Aku tanya N kenapa tak kejut aku. N tak mahu ganggu aku. Aku pun okay lah. Petangnya pulak, aku saja scroll FB. Nak tahu apa aku baca? Kakak N update status.
“Mak call tak angkat. Anak yang ego! Orang tu pulak, kita pergi rumah, tak keluar bilik! Tak ada adab! Buat mak orang macam tu! Suami/ isteri boleh dicari, mak tiada ganti”. Lebih kurang begini ayatnya. Punya banyak tanda seru guys.
Masa ni aku dah rasa, status ni macam ditujukan pada N dan aku. Aku tunjuk dekat N. N terkejut jugak. Aku tanya N, apa yang dia beritahu masa mak dan kakak dia datang waktu aku sedang tidur tu. N kata aku tak sihat saja.
Demi Allah aku terasa. Dada aku turun naik. Aku start marah N. Ya walaupun N tak salah, tapi aku tak boleh kawal waktu tu. Aku jerit jerit dekat N. Aku memang marah betul dekat mak dan kakak N.
Aku ambil phone. Aku mesej kakak N. Aku cakap aku tak tahu pun mereka datang. Aku cakap aku amat terasa dengan status tu. Ahli keluarga, pak cik, makcik N dan semua saudara lain baca dan komen.
Aku jadi malu. Marah aku sampai aku kurungkan diri aku. Aku rasa maruah aku tercalar. Aku difitnah tak ada adab dengan orang tua sebab aku tak keluar bilik. Giila!
Kakak N minta maaf. Tapi aku tak boleh terima senang senang begitu saja. Aku minta dia jernihkan balik nama aku tapi tak ada pulak status baru untuk itu dan status yang dia fitnah aku tu dia tak padam juga. Fuh, menyirap weh.
Aku tengok jugak lah biras aku komen “I feel the same” merujuk kepada perasaan mak N yang sedih ketika itu. Ceh, mentang mentau kau di pihak yang diraikan, kau pun sama ja. Tanpa selidik, kau terus percaya.
Walaupun teruk perasaan aku waktu tu, aku tak rasa nak balas balik dengan update status bdoh kat FB. Aku tahu Allah dengar permintaan orang yang dianiayai.
Aku mohon pada Allah, kembalikan semula pada dia apa yang telah dia sakitkan aku dan termasuk juga orang orang yang percayai status bdoh tersebut. Dia pun ada anak. Macam mana air mata aku mengalir deras, begitu juga dia nanti. ALLAH MAHA BESAR.
‘MAK ORANG’ katanya. Maknanya selama aku jadi isteri N, mereka tidak menganggap aku sebagai ahli keluarga pun kan? Haa lantak lah mak orang tu bersama labu labunya.
Lepas tu, aku block ahli keluarga N di FB, IG, Whatsapp, call. Biras aku pun aku block. Tapi aku tak block pak cik, mak cik N dan saudara mara yang lain. Sebab aku akan pastikan dan aku berazam, aku akan tunjuk kejayaan aku dan betapa beradapnya aku dengan orang tua.
Di Whatsapp group keluarga N pun walaupun aku dah kawin dengan N 3 tahun lebih, tapi aku tak pernah sekali dimasukkan. Dasyatkan kakak N ni? Sebab dia admin group tersebut.
Anak dia yang baru je ada fon, tak menyempat eh terus dia add masuk. Biras aku mestilah ada dalam tu, kesayangan katanya. Jangan risau, aku pujuk diri aku. Lantak lah.
Lepas peristiwa hitam tu, mak N ada datang melawat, aku buat macam biasa saja. Mak N ni ada ucapkan maaf tapi dia katakan pada N dan suruh N beritahu aku. Mungkin dia rasa dia tua, dia tak layak nak ucap maaf pada aku.
Ceh. N pun beritahu aku dan aku pekakkan telinga. Aku tak bagi respond apa pun pada N. Kakak dia? Takut kut nak jumpa aku mula mula tu. Ye la, dah fitnah orang. Datang umah aku tapi tak masuk. Mak N ja yang masuk.
Pantang anak kedua ni memang aku dengan N saja. Aku tak bagi sesiapa pun masuk campur. N akur. Dengan keluarga N memang aku ignore terus. Aku dah tak ada masa nak layan keluarga MAKSUM.
Yes aku panggil macam tu sebab mereka tiada dosa. Orang lain saja yang salah, ahli keluarga mereka bebas dosa.
Aku stop jugak bagi apa apa pada mak N. Stop terus lah senang cerita. Ye la, nak buat apa ingat pada mak orang kan. Aku fikir tentang aku dan anak anak saja. Nasib lah aku bekerjaya, kalau lah aku tak kerja, anda rasa apa yang akan jadi pada aku?
Aku fast forward lagi. Beberapa tahun lepas tu, anak anak aku pun dah besar sikit. N pun dah bekerja semula. Aku masih aku yang lama. Aku tak menghadap langsung keluarga N. Aku pun senyap tak membalas apa. Aku yakin Allah ada.
Ada lah, makcik N ni macam pandang serong dekat kami, tapi ahhh, lantak kau! Aku buat macam biasa.
N ada lah setahun tu 3 4 kali dia pergi jumpa mak dia. Tu pun aku yang suruh tau tak. Aku rasa N tak pergi rumah keluarga dia pun, mesti keluarga dia ingat aku yang tak izinkan. Aku rasa je laa..haha. Tiada yang mustahil dengan keluarga MAKSUM. Semua salah orang.
Suatu hari aku tengok kawan aku update dia berada di Australia. Dia pergi sana kutip buah. Aku rapat juga dengan kawan aku ni. Aku jadi excited nak berhijrah.
Aku dah bosan sangat nak hadap perangai manusia yang entah apa apa. Aku nyatakan keinginan aku pada N. N pun sama. Tapi dia tak bagi aku stop kerja aku dan jadi kuli di sana.
Mula mula memang seronok kan? Lama lama dah bosan nanti baru menyesal. Jadi, aku pun cari jalan nak merantau jalan jalan tengok dunia luar. Lupa pulak aku dah ada master. So, aku bercadang nak sambung PhD dekat luar negara.
Aku mulakan langkah dengan mencari biasiswa. Aku tengok requirement semua lulus. Aku dapat pointer 3.8 masa degree dan 4 flat masa master. Ok, cun semua. Umur pun tak lebih 35 tahun lagi. Alhamdulillah aku dapat biasiswa.
Kemudian, aku apply cuti tanpa gaji pula. Aku cuba je dulu. Tapi tak sangka dapat. ALHAMDULILLAH terima kasih Allah.
Sebelum fly, aku berkumpul kami adik beradik dengan mak aku. Aku mohon ampun dan maaf daripada semua termasuk abang aku. Kejap lagi aku cerita detail pasal abang aku. Mak aku sedih sebab dia dah rapat sangat dengan anak anak aku.
Anak aku yang kedua tu dia lah jaga lepas aku habis pantang sampai sebelum aku berangkat. Dia yang nak jaga, bukan aku suruh. Aku nampak banyak perubahan pada mak yakni aku rasa bersyukur. Keluarga N? Mereka ada datang. Macam biasa, aku buat macam biasa.
Okay sekarang ni adalah cerita aku pada 2021. Bukan tahun tahun yang lepas lagi dah. Banyak betul throwback kan. Alhamdulillah aku dah berada di tahun terakhir PhD aku di United Kingdom. Dah 4 tahun juga aku di bumi UK.
Aku tak boleh cerita detail aku di mana semua sebab Malaysian community di sini ramai. Kalau lah mereka salah seorang pembaca, mesti mereka dapat agak aku lah Laila Atheerah.
Aku tulis bahagian I dan II sambil aku edit pembetulan tesis PhD aku. Sebab tu aku tak boleh ambil masa yang lama untuk tulis confession aku ni. Kesian anda semua tertunggu. Maaf tau.
Alhamdullilah sebelum aku mula tulis bahagian III ni, aku dah selamat hantar tesis aku dan sekarang tengah tunggu hari untuk viva voce. Aku mohon doa kalian.
14 tahun dah berlalu, aku masih dengan N dan N masih N. Baik, penyayang, rajin. Aku setiap hari ucapkan syukur pada Allah sebab Allah kurniakan suami yang baik untuk aku. Walaupun aku tak berpeluang untuk rasa adanya abah, aku yakin ALLAH SANGAT ADIL.
Di FB dan IG aku, aku upload gambar setiap tempat yang kami pergi. Aku dah jalan kat banyak Europe countries sebelum pandemik haritu. Aku berangkat November 2017. Dekat 2 tahun jugak lah aku boleh berjalan jalan sebelum UK lockdown. Bahagia dan seronok tu Allah saja yang tahu.
Aku tunjukkan saja semua perkara indah di media social. Mak ayah saudara N dan adik beradik lain pun like gambar gambar aku. Haa kan aku kata, aku akan tunjuk kejayaan, bukan kebdohan.
Keluarga N? Aku tak ambil tahu langsung. Mesti lah N ada contact mak dia. Tapi aku memang tak ambil peduli. Aku tak izinkan lagi diri aku dibuli.
Aku acap kali katakan pada N, kalau N dah tak mahu aku, aku terima. N layak untuk cari pasangan yang lebih baik daripada aku. N macam biasa, dia buat buat tak dengar atau dia tarik tangan aku dan cium aku bertubi tubi. Allah, baik kan N? Moga sampai bila bila.
Abang dan mak aku, aku kira mereka banyak sangat berubah. Paling ketara abang aku. Kami dah boleh gelak ketawa, berbincang dan dia punya kepala angin dah hilang. Dia minta maaf pada aku. Aku terima sebab aku tahu, bukan semuanya salah dia.
Faktor keluarga kami yang membuatkan kami jadi begini. Tambah pula, mak aku masa tu mengadu domba. Tak apa aku maafkan sebab abang aku bersungguh untuk satukan family kami.
Aku amat-amat berterima kasih kepada kakak ipar aku (isteri abang aku), Kak Lily sebab membimbing abang aku ke jalan yang benar.
Keluarga Kak Lily adalah satu keluarga yang bahagia dan mementingkan sikap kekeluargaan. Ayah mertua abang aku tu ya Allah, punyalah jaga dan sayang isteri, anak, menantu dan cucu. Abang aku sangat beruntung!
Aku juga beruntung sebab dapat N. Kan aku kata Allah maha adil. Aku tunggu juga bila boleh border buka, mak aku dah tak tertanggung rindu cucu cucu dia. Aku minta dia datang UK sebab aku tak boleh balik lagi. Hari hari lah video call dengan anak aku berdua tu.
Sepatutnya aku kena balik Malaysia lepas 4 tahun belajar. Tapi supervisor aku offer pulak aku sambung post grad dengan biasiswa.
Walaupun aku bukan nak jadi lecturer, aku terima sebab aku suka sangat bidang penyelidikan. Jadi aku akan berada di bumi UK lagi 2 tahun. Cuti aku pun lulus. Lega aku!
Tapi aku ada rancangan lain. Kalau aku boleh dapatkan visa bekerja, aku akan stay UK sampai bila bila. N tak halang sebab dia lagi suka.
Ye lah, boleh selalu tengok Manchester United beraksi di Old Trafford! Tettt.. aku tak duduk di Manchester ye. Hehe. Kalau dah dapat visa bekerja, aku akan lepaskan kerja aku di Malaysia.
N kat sini bekerja. Sebagai apa itu rahsia.. Susah jugak dia nak cari kerja yang profesional di UK sebab hanya berbekalkan ijazah. Mungkin nasib kami bergantung pada aku.
Sebab lepas habis post-grad, aku nak cuba apply jadi reseacher atau pembantu pensyarah atau terlibat dengan mana mana penyelidikan antara universiti. Doakan aku!
Atau mungkin aku akan paksa N untuk sambung master dan PhD di sini. Lagi lama lah kami boleh stay sini..
Aku sekarang lebih pentingkan kesihatan mental aku. Aku tenang di bumi penjajah ini. Bukan aku nak larikan diri. Entahlah, anda kena rasa sendiri. Tapi siapa yang nak rasa kisah aku ni? Aku pasti, kalau anda masuk sikit pun dalam kasut aku, pasti tergesa gesa keluar sebab dah tak tahan.
Sepatutnya aku namakan kisah aku, PILIH KASIH. Tapi aku nak tahu salah aku kah semua ini berlaku? Salah aku kah N keluar dari keluarga dia? Salah aku kah aku pilih jalan begini?
Jujurnya aku tak boleh lupa perbuatan setiap karakter dalam cerita aku ni. Dada aku berombak deras kalau teringat.
Oh ya abah aku. Abah, aku dah tak tahu apa yang terjadi pada dia. Aku tak pernah ambil tahu juga. Lepas dia buang kami, dia tak ambil tahu pun pasal kami. Kami bergantung pada diri sendiri untuk hidup.
Jadi, biarlah abah bahagia dengan isterinya dan anak anak tirinya. Abah aku tak ada anak dengan mak tiri aku. Aku rasa abang dan adik-adik aku pun lantakkan saja abah. Tiada siapa lagi antara kami yang bercerita tentang abah.
Anak anak aku sihat dan bijak sangat. Yang sulung dah 12 tahun lebih dan yang kedua dah 9 tahun lebih. Anak anak aku cuma kenal keluarga sebelah aku saja.
Aku sendiri tak izinkan anak aku rapat dengan keluarga MAKSUM. Aku tak mahu anak aku terluka. Apa yang anda nak cakap, terpulang. Aku fobia dengan PILIH KASIH.
Itu saja cerita aku. Aku mohon kalian doakan aku untuk final viva PhD dan kehidupan aku seterusnya. Terima kasih yang memberi komen positif. Yang negatif, aku abaikan saja. Siapa yang tak lalui, dia takkan tahu kepedihan itu.
Laila Atheerah bahagia sangat sekarang guys! Alhamdulillah..
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Sumber: Laila Atheerah (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia