“Selepas 29 Tahun Baru Aku Tahu Kenapa Mama Dan Abah Minta Aku Rahsiakan” Jika tidak aku akan terima akibatnya

 

Foto sekadar hiasan.

Assalamualaikum. Terima kasih admin kalau sudi siarkan.

Straight to the point, aku perempuan, umur 29 tahun. Aku tengah sedih. Kepala aku tengah berserabut. Hati aku berkecamuk. Fikiran aku tak tahu nak hadam kan macam mana.

Selama ni aku hanya membaca confession anak anak lain. Tapi hari ini. Hari aku!

Tahun depan, 2021, insya allah aku akan bernikah. Tapi hari ini aku baru tahu. Aku anak luar nikah. Ibu babah baru bagitahu. Selama 29 tahun mereka berdua rahsia kan.

Bila aku nak lengkapkan borang permohonan nikah, babah dan ibu terangkan keadaan aku. Abah terangkan babah tak boleh jadi wali dan kena mohon untuk wali hakim.

Patut la selama ni bila aku tanya ibu tentang surat nikah mereka, ibu akan mengelak dan aku tidak pernah melihat surat nikah mereka.

Aku teringin nak tahu tarikh nikah mereka kerana ingin meraikan ulangtahun perkahwinan babah ibu.

Berbalik kepada cerita…

Aku terkedu. Perlahan lahan air mata mengalir. Hati aku hancur. Babah dan ibu pun turut menangis memohon ampun atas kesilapan mereka berdua dan menjadikan status aku begini.

Sambil mendengar penjelasan babah dan ibu, aku menerawang memikirkan kebaikan mereka berdua. Aku anak sulung, dan aku rasa babah dan ibu sangat memanjakan aku daripada adik beradik yang lain.

Aku tak rasa kurang pun dengan layanan babah dan ibu sebab mereka tidak pernah pilih kasih dengan anak anak mereka.

Bila memikirkan, aku tak sangka sebenarnya aku anak luar nikah. Hati aku remuk tapi aku sejukkan segera dengan mengingatkan kebaikan dan ihsan mereka padaku.

Selesai memberikan penjelasan, babah dan ibu meminta maaf dengan mencium tangan ku, memelukku erat. Aku sedih sangat. Tak tergambar sakit nya.

Babah dan ibu meminta aku merahsiakan daripada sesiapa waima bakal suami dan keluarga mertuaku.

Kerana mereka telah merujuk kepada pejabat agama dan pegawai menasihati biarkan ia menjadi rahsia dan tidak perlu diketahui oleh sesiapa. Pegawai tersebut mengatakan jika orang tahu, aku akan menerima akibat nya.

Jadi babah dan ibu meminta untuk aku merahsiakan daripada sesiapa. Adik beradik ku juga tidak mengetahui perkara ini. Saudara mara pun tidak tahu.

Mereka memaklumkan bahawa aku tak bersalah dan tidak perlu menerima akibat daripada orang sekeliling atas status ku itu.

Babah mengatakan walau apa pun yang berlaku, aku tetap anak nya. Dia meminta aku tidak berjauh hati atau membawa diri.

Dia meminta aku tidak rasa rendah diri dengan adik beradik. Dia meminta aku sentiasa pulang ke kampung walaupun sudah bersuami. Dia meminta aku jadi seperti biasa. Kerana aku tetap anak nya.

Tapi aku. Aku hanya mampu menangis. Setiap kali solat, aku menangis sepanjang solat. Aku rasa aku jijik dan tak layak ada kat dunia ini.

Aku persoalkan kenapa aku diuji tapi aku pujuk hati. Sebab aku mampu. Tapi hati aku tak kuat. Sumpah aku tak kuat.

Babah cakap mereka rahsiakan daripada aku semenjak aku sekolah menengah lagi untuk memberitahu hal sebenar. Tapi babah khuatir akan menjejaskan pelajaran dan emosiku.

Ketika aku melanjutkan pelajaran, babah risau aku akan lari dari rumah kerana dah besar dan mampu untuk pergi ke mana mana.

Dan hari ini, babah dan ibu terpaksa juga dedahkan kerana percaya aku akan bersikap matang dan mampu kawal emosi ku serta aku perlu tahu untuk menyelesaikan permohonan nikahku.

Setiap kali buka website untuk mengisi borang online. Di ruangan maklumat wali, aku akan terhenti. Aku mengharapkan yang aku boleh meletakkan nama babah sebagai wali. Tapi hanya mampu memilih wali hakim.

Dari aku bersedia untuk bernikah, aku membayangkan babah yang akan mewalikan aku sendiri. Tapi ia hanyalah angan angan.

Ibu cakap nanti aku akan ke mahkamah untuk memohon wali hakim. Aku tak tahu apa pula yang bakal ku hadapi.

Aku kesian dengan bakal suamiku kerana mendapat isteri berstatus anak luar nikah.

Aku tak tahu dengan siapa harus aku meluah. Tiada siapa. Ia aib babah dan ibu.

Aku nak tunjuk dengan ibu babah aku seorang yang kuat dan sudah memaafkan mereka berdua. Aku nak berlagak seperti tiada apa yang berlaku.

Ada sesiapa yang mengalami nasib yang sama? Boleh bantu aku untuk ubat hati ini?

Maaf jika penulisan ku caca marba sebab sambil aku menaip, sambil itu juga aku menangis.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber : Bunga layu (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia