“Setibanya Dirumah, Ibu Terkejut Terjumpa Tudung Dan Baju Wanita” Ibu call aku nangis2, dari sejak itu adik berubah

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Sejak akhir akhir ni aku perasan banyak confession tentang sikap ibu bapa yang layan anak dengan teruk. Aku sangat berharap jika confession ni disiarkan, pembaca dapat berikan pendapat dan pandangan tentang masalah keluarga aku ni.

Sejujurnya, ini kisah tentang adik aku. Adik aku ni satu satunya anak lelaki dalam keluarga. Kami kehilangan ayah masa adik lelaki berumur 3 bulan. Ketika adik 3 bulan, ayah pergi tinggalkan ibu dan kami 3 beradik.

Bertahun tahun, ibulah mak, ibulah ayah. Ibu sambung belajar supaya dapat beri kami kehidupan yang lebih baik dan alhamdulillah dari guru sekolah rendah, ibu dapat tawaran jadi seorang pensyarah. Hasil penat lelah ibu sambung belajar dan berkat ibu membesarkan kami.

Segala galanya sentiasa cukup. Ibu sentiasa berikan semuanya. Kasih sayang, didikan dan kalau ada apa apa yang kami nak, ibu akan reward bila kami dapat capai apa apa yang ibu target.

Contoh kalau dapat straight A UPSR ke PMR ke SPM ke, ibu sentiasa akan beri reward.

Aku anak sulung, dan ibu sangat sangat tegas denganku. Sebab ibu nak adik adik aku ada 1 penanda aras yang tinggi.

Alhamdulillah aku agak cemerlang dalam pelajaran dan alhamdulillah kini sudah selesai pengajian PhD. Sejujurnya, ibu tak begitu tegas dengan adik adik.

Mungkin kerana ibu sudah berumur atau mungkin juga kerana ibu sudah berduit. Adik adik sentiasa dimanjakan. Aku tak kisah. Sebab bagi aku, tu rezeki adik adik aku. Adik adik pula alhamdulillah sangat sangat patuh.

Sehinggalah adik lelaki aku bertemu dengan seorang gadis. Pada mulanya ibu minta adik bawa gadis tu pulang ke rumah untuk berkenalan.

Entah bagaimana, adikku minta supaya dia dapat tumpangkan gadis itu di rumah.

Dengan alasan, keluarga gadis itu tak pedulikannya. Abangnya sentiasa bawa kawan kawan masuk ke rumah dan sentiasa hendak buat perkara tak senonoh padanya dan macam macam lagi cerita yang tidak enak tentang keluarganya.

Ibu simpati dan ibu benarkan. Sepanjang seminggu di rumah kami, sejujurnya ibu jadi tidak berkenan dengan sikap gadis tersebut. Bagi ibu, gadis tersebut terlampau menggedik. Depan ibu, dia berani memaut lengan adik.

Aku tak duduk bersama ibu kerana sudah punya keluarga sendiri. Dan aku hanya mendengar kisah dari adik perempuan dan ibu aku.

Selepas seminggu, ibu minta gadis tersebut pulang. Katanya tidak manis jika berlama lama di rumah kami. Gadis itu mulanya menolak namun akhirnya akur.

Sejak daripada itu, ibu sentiasa menegaskan yang ibu tidak berkenan dengan gadis tersebut. Tetapi adik yang mungkin sudah terlampau sayang, enggan mendengar nasihat ibu.

Untuk pengetahuan, adik berumur 23 tahun, gadis tersebut 19 tahun. Dan untuk pengetahuan juga, adik tak punyai pekerjaan yang tetap. Hidupnya banyak ditanggung ibu.

Akhirnya, adik suarakan hasrat untuk berkahwin dan seperti diduga, ibu menentang sekeras kerasnya, “kau nak kawin guna apa? Ada duit? Nak bagi bini makan apa nanti?”

Sejak itu, adik mula memberontak. Tapi ibu tak pernah berkeras dengan adik. Baginya, adik cuma belum matang untuk memahami.

Fast forward, ketika sebelum PKP, ibu datang ke rumah aku untuk bercuti bersama adik perempuan aku. Adik lelaki aku enggan ikut. Katanya punya kerja.

Pada mulanya ibu bercadang untuk duduk di rumah aku selama seminggu. Tapi akhirnya ibu pulang ke rumah pada hari ke 3 kerana katanya rasa tak sedap hati.

Setibanya di rumah, ibu terkejut bila terjumpa baju perempuan yang tidak dikenali, tudung yang tidak dikenali dalam rumah kami. Dan ketika itu, adik tiada di rumah. Ibu telefon aku menangis. Kami tanyakan pada adik tapi adik tak nak mengaku.

Namun setelah didesak, adik mengaku dan katanya tak buat apa apa, gadis itu hanya menumpang.

Ibu kecewa dan mula mengatur perjumpaan dengan gadis tersebut untuk berbincang dan tanpa disangka, adik marah dengan perbuatan ibu kerana tidak lama selepas pertemuan tersebut, gadis itu ingin berpisah dengan adik.

Sejak dari itu, adik bukan lagi adik yang dulu. Adik tak pernah bercakap baik dengan ibu. Adik berkasar dengan ibu. Bila aku nasihat, adik hanya membatu. Sungguh, kami kecewa.

Berbulan bulan adik bersikap dingin dengan ibu. Namun, apa sahaja yang dia nak, ibu sentiasa turutkan. Nak motor untuk pergi kerja, nak iphone 12.

Semua ibu beri untuk pujuk hatinya. Tapi, dia tetap berkelakuan begitu dan lebih teruk, melemparkan berbagai fitnah tentang ibu kepada adik beradik tiri. Ya, setelah bertahun, ibu berkawin semula dan kami mempunyai adik beradik tiri.

Di depan aku, adik keluarkan satu ayat yang paling aku ingat hingga kini. “ibu tu dah tua, otak dia dah benak”. Allahu, nak pecah jantung aku. Aku marah, tapi adik hanya buat muka tak tahu.

Adik katakan, dia kini d3presi kerana sikap ibu. Ibu punca dia jadi begini. Ibu kongkong hidup dia dan sering masuk campur urusan peribadinya.

Katanya, kalau tidak kerana ibu, dia kini sudah bahagia dengan gadis pilihan. Ibu bersikap judgemental, tidak mengenali gadis pilihannya dengan baik tapi terus terusan menghukum gadis kesayangannya.

Sungguh, puas aku muhasabah diri, mengingati kembali, benarkah ibu kongkong hidupnya? Ibu sentiasa beri apa dia nak. Ibu sentiasa beri kebebasan. Sehingga kini, ibu tak pernah menghalangnya jika nak keluar rumah.

Pernah sekali kami marah kerana dia keluar rumah tanpa meminta izin ibu. Dia meradang sambil berkata, “korang tak payah semakkan hidup aku”.

Ibu kecewa. Last raya pun, dia tak bersalaman dengan ibu. Katanya dia tak boleh maafkan ibu. Dah lama dia tak duduk bergurau senda dengan ibu. Setiap hari, ibu menangis kerana sikap dia. Kami buntu. Apa yang kami tak lakukan?

Kami sudah marah, kami sudah nasihat secara baik, sudah berbincang juga secara baik agar kami dapat fahami apa yang dia mahukan. Tapi dia masih begitu. Menyalahkan ibu. Katanya ibu punca segalanya.

Ibu pernah kata, “jika nak kawin, kawin lah. Tapi bina hidup sendiri. Ibu bukan buang kamu, tapi ibu nak kamu hidup sendiri, jaga isteri sendiri.” dia berkeras tidak mahu.

Katanya cara itu takkan membantu gadis itu menjadi lebih baik. Katanya gadis itu gadis liar yang perlukan perhatian dan kasih sayang ibu.

Ibu kata ibu akan sayang, cuma ibu tak nak duduk serumah. Adik tetap enggan.

Entahlah, bagiku, adik mahu ibu tanggung dia dan isterinya selepas berkahwin. Kerana itu dia menolak cadangan ibu untuk berkahwin kerana sejujurnya sehingga kini, dia masih belum punya pekerjaan yang tetap.

Aku pernah duduk berbincang dengan ibu. Kataku, cubalah kita terima gadis tersebut, beri dia duduk di sini. Ibu berkeras tak mahu. Ibu kata ibu tak nak jadi orang gaji dalam rumah sendiri.

Katanya banyak sikap gadis itu yang ibu sangat tak suka ketika dia datang tinggal di rumah kami. Aku sendiri buntu. Kadang kala aku terfikir, benarkah adik aku d3presi? Atau cuma derhaka?

Aku sedih lihat ibu yang sentiasa berendam air mata. Sedih melihat satu satunya anak lelakinya jadi begitu. Sekarang ibu dah hentikan semua duit belanja adik. Sudah berbulan ibu tak beri duit. Itupun dengan nasihat aku.

Aku katakan pada ibu, biarkan dia susah, supaya dia lebih hargai ibu. Namun, aku tak nampak sebarang perubahan. Mungkin masih perlukan masa. Pembaca semua, jika tidak keberatan, tolonglah berikan pendapat dan pandangan. Apa perlu kami buat?

Atau kami hanya perlu bersabar dan membiarkan masa memperbaiki semuanya. Adik left group family, sudah berbulan tak membalas wassapku. Seolah olah membuang kami terus dari hidupnya. Sedangkan aku lah yang paling rapat dengannya.

Doakan ibu aku sentiasa kuat ya. Untuk pengetahuan, papa tiriku yang sudah berkongsi hidup dengan ibu selama 6 tahun juga sudah pergi tinggalkan ibu beberapa bulan yang lepas. Allah lebih sayangkan dia.

Ujian ibu sangat berat. Diuji dengan kehilangan suami yang amat menyayanginya dan kemudian diuji dengan sikap satu satunya adik lelaki aku yang diharapkan dapat menjadi pelindungnya.

Terima kasih semua. Maaf jika coretan ini terlampau panjang.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: Kakak (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia