“Suami Tak Ada Apa2 Harta, Aku Tak Nak Dia Warisi” Jika aku yang pergi dulu dari dia, pasti aku akan dibenci seumur hidup
Foto sekadar hiasan
Assalamualaikum semua. Saya Sumaiyah berusia awal 40an dan seorang surirumah. Mempunyai 3 orang anak yang sedang meningkat remaja, Alhamdulillah Allah kurniakan saya anak anak yang baik dan sangat mendengar kata.
Perkahwinan yang hampir 20 tahun dengan seorang lelaki dari utara tanah air mengajar saya pahit dan manis sepanjang bergelar isteri.
Saya dibesarkan dalam keluarga yang senang. Mak dan aruwah ayah saya pesara kerajaan dan meninggalkan harta yang agak banyak untuk kami adik beradik.
Semua harta pusaka aruwah ayah telah dibahagikan sama rata untuk kami semua adik beradik.
Setiap kami mendapat tanah hampir 20 ekar setiap seorang. Ada tanah getah (getah tua dah sekarang), padi (pajak dekat orang) dan kebun buah (tak terjaga) juga rumah sewa.
Adik beradik saya semua kerja kerajaan dan tidak bergantung pada hasil ni. Hasil dari sewa sahaja saya mendapat hampir RM2000 sebulan dan duit inilah saya guna untuk membeli barang keperluan saya dan anak anak.
Apa yang menjadi masalah pada saya sekarang hubungan kami suami isteri memang bermasalah sejak dulu, tapi saya bertahan sebab anak anak.
Saya tau dia sayangkan saya dan dia baik sebagai seorang ayah tetapi saya banyak makan hati denganya.
Dia selalu memandang rendah pada saya seperti saya tak pernah menyumbang sedikit usaha dan tenaga untuk keluarga.
Sebelum PKP dia kerja gaji besar dan kerja macam dia saya tau ramai perempuan suka sebab dah banyak kali dia cvrang dengan saya walaupun sekadar berhubung melalui FB.
Sekarang dia hanya kerja food runner sebab sejak tahun lepas bos dia hanya mampu bayar gaji basic dan ada bulan bulan yang dibayar separuh sahaja.
Sejak berhenti kerja dia ada mengungkit macam saya membebankan dia. Saya bukan tak nak kerja dengan umur dah 40 siapa yang nak ambik saya kerja walaupun saya ada degree.
Saya pernah berniaga tetapi banyak kali gagal dan setiap kali itulah dia akan menyindir saya. Sungguh saya down giila bila tiada moral support dari orang dekat dengan kita.
Setiap hari saya akan menangis. Semua kerja rumah saya yang buat dari A sampai Z, kalau mintak tolong sikit memang akan gaduh giila, saya penat fizikal dan mental kalau tiada anak anak lama dah saya lari dari dia.
Saya rasa 20 tahun dunia saya gelap. Dari seorang yang cantik dan menarik dulunya saya rasa macam dah tak de kehidupan buat saya sekarang.
Saya cuba joint macam macam untuk tambah pendapatan, semua gagal. Duit yang ada hanya cukup untuk barang dapur dan keperluan anak anak. Barang kemas saya pun semua dekat pajak gadai nak nak pulak musim PKP ni memang tak cukup duit. Saya tinggal di bandar besar semua mahal.
Bila dah masuk usia 40 kita akan pikir pasal kematian. Dengan harta tanah dan 2 buah rumah yang saya miliki atas nama saya dan usaha saya sendiri.
Saya selalu terpikir sekiranya saya meninggal sekarang, senang senang suami saya akan memiliki harta saya dan boleh kawin lain tanpa perlu bekerja seumur hidup pun sekiranya dia menjual semua harta saya.
Saya terfikir untuk wasiat dan hibah harta untuk anak anak saya, 2 lelaki dan seorang perempuan. Kami juga mempunyai takaful yang bernilai 200,000 sekiranya kami suami atau isteri yang meninggal. Ini pun saya yang bayar bulan bulan.
Zalimkah saya jika berbuat begitu atau berdosakah saya sebagai seorang isteri. Dia mungkin akan membenci saya seumur hidup sekiranya saya meninggal awal dari dia. Saya juga ada terfikir untuk memberinya sedikit tapi bukan secara faraid.
Untuk pengetahuan semua, suami saya tidak mempunyai apa apa harta rumah atau warisan dari keluarganya kerana family dia orang susah. Walaupun gaji besar dia lebih banyak habiskan duitnya untuk hobi yang mahal. Kami menyewa disini.
Mungkin saya bukanlah bidadari pilihanya di syurga nanti saya terima. Semoga saya bahagia disana bersama anak anak dan seorang anak syurga yang telah menunggu disana. Saya mohon pandangan dan nasihat dari pembaca semua.
Terima kasih.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Sumber : Sumaiyah (Bukan nama sebenar) via IIUMC via edisimedia